KUALA TERENGGANU, 11 Feb (Hrkh) – Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita dengan sikap umat Islam yang menolak politik Islam. “Kita rasa dukacita kerana ada orang yang sama sebangsa dengan kita menolak politik Islam. Nabi Muhammad itu adalah bapa segala orang politik, bapa ekonomi dan semua perkara diajar oleh baginda SAW kepada kita,” jelasnya. Menurutnya, penolakan terhadap ajaran Islam oleh orang Islam sendiri kerana berlaku suatu serangan pemikiran sebelum ini. Tambahnya, serangan pemikiran itu ibarat ‘perompak’ yang meracuni jiwa dan minda manusia agar menolak ajaran Islam sebenar. Menurutnya lagi, Islam menyelamatkan kehidupan manusia dan harta benda daripada kemusnahan. Katanya, tanpa ajaran Islam yang menjadi ‘tali pengikat’ dan panduan, manusia akan sesat serta hilang pedoman di atas muka bumi Allah SWT ini. “Kita hidup atas dunia ini tidak dapat lari dari turut (ikut) Islam kerana Islam yang akan menyelamatkan manusia, harta benda dan segalanya,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan. Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Rawatan Asy-Syifa’ Cawangan Terengganu di Taman Permint Jaya, Chendering, dekat sini, kelmarin. Katanya, manusia yang menentang serta tidak menerima ajaran Islam bererti menolak Tuhan, nabi-nabi dan al-Quran seluruhnya. - mks. |