KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh) - Bekas Ketua Pengarang The New Straits Times Press (NSTP), Dato' A Kadir Jasin mempersoalkan mengapakah pendapatan kerajaan bernilai RM60,780 dikorbankan untuk memenuhi kehendak seorang menteri kabinet? Beliau mempersoalkan perkara itu ketika mengulas penjelasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menafikan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Zulhassnan Rafique membayar jumlah sebesar itu untuk membeli nombor siri pendaftaran kereta WPA 1. Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Amir Abdul Hamid dalam satu kenyataan menjelaskan memang nama Zulhassnan tersenarai sebagai pembida yang berjaya bagi nombor siri tersebut dengan harga tawaran sebanyak RM60,780. Bagaimanapun, katanya nombor siri WPA 1 itu ditawarkan secara percuma kepada Zulhassnan oleh Ketua Pengarah JPJ Malaysia. "Jika perkara tersebut benar, sesuatu yang sungguh dahsyat telah berlaku ... Jika ia benar, adakah (Ketua) Pengarah JPJ mempunyai budibicara untuk mengorbankan pendapatan kerajaan sebanyak itu? "Mengapa Menteri Wilayah Persekutuan memerlukan nombor istimewa? Walaupun beliau dikenakan bayaran untuk itu, persoalan yang pasti ditanya ialah mengenai kekayaannya? Beliau mungkin seorang yang kaya raya. "Tetapi ketika semakin ramai rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, para menteri tidak sepatutnya menayang-nayangkan kekayaan mereka tanpa segan-silu," kata Kadir dalam blognya. Jika benar Zulhassnan mendapat nombor siri secara percuma, katanya, "kita mesti menuntut beliau membayarnya atau kita potong gaji (Ketua) Pengarah JPJ." Apa yang dilakukan oleh Ketua Pengarah JPJ itu, katanya, bukanlah cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada menteri. "Dia adalah seorang wakil yang dipilih oleh rakyat dan seorang kakitangan awam. Kehidupan dan tindak-tanduknya hendaklah seperti yang sepatutnya. Tetapi malangnya beginilah sesetengah orang menjadikan ahli-ahli politik sebagai tuhan-tuhan dan Napoleon (nama Napoleon digunakan untuk menggambarkan mahararaja atau orang sangat berkuasa)," kata Kadir. |