:: PeNenang JiWa :: |
|
:: BoIkOt :: |
|
:: TaQwIn :: |
|
:: MaSa ItU EmAs :: |
|
:: LiNk :: |
|
:: SoKonGan :: |
|
|
:: IkAtAn kAsih :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: Ip DeTecT :: |
| |
Hebatnya Saiful Islam (Bukan Memperkecilkan Harapan dan Permintaan) |
Thursday, April 19, 2007 |
“Ustaz tolonglah sahabat saya ini. Keadaannya sudah terlalu teruk. Dia sudah berhasrat untuk tidak lagi bersama Islam”, sebuah sms tiba di telefon saya.
“Ustaz, dialah satu-satunya anak lelaki saya. Saya sudah tidak tahu hendak buat macam mana. Saya harap sangat ustaz dapat bercakap dengan dia. Ustazlah harapan terakhir saya!”, ujar seorang ibu kepada saya. Penuh kesungguhan.
“Ustaz boleh tak bagi ceramah untuk pelajar-pelajar kami yang bermasalah. Kami dah habis ikhtiar!”, telefon seorang guru kepada saya.
Percaya atau tidak, hampir setiap hari saya didatangi oleh permintaan seperti di atas. Ada yang tiba melalui sms, banyak yang datang dengan email. Itu pun saya jarang mengangkat telefon.
Saya percaya, setiap satu kes di atas adalah besar pada setiap insan yang hampir kepadanya. Mungkin sebesar-besar isu, sebesar-besar kerunsingan.
Letakkan sahaja diri saya di tempat seorang ibu, yang telah bertarung nyawa melahirkan si anak, membesarkannya dengan seribu kepayahan. Tiba-tiba si anak seperti sudah jemu hidup. Membunuh diri dengan lumba haram, dadah dan arak. Hancur luluh hati si ibu, tiada perkataan yang boleh menggambarkannya.
Tidak sekali-kali untuk saya meremehkannya. Jauh sekali memperkecilkannya.
Fikirkan sahaja betapa luhurnya hati seorang guru, menyusahkan hidupnya memikir tentang anak orang lain. Anak muridnya yang degil dan tidak mendengar kata. Kalau guru ini mengajar hanya untuk makan gaji, pedulikan budak-budak seperti ini. “Kamu nak mampus ke, nak jadi apa ke, yang penting gaji aku masuk tiap-tiap bulan!”
Tetapi guru ini bukan sekadar cikgu. Dia berhati ibu dan berjiwa bapa terhadap anak-anak muridnya. Mahu mendidik… bukan sekadar mengajar seperti nama kementeriannya. Kementerian Pelajaran. Profesyennya adalah profesyen mendidik… pendidikan. Mereka menyuluh anak murid jalan baik di dunia, jalan selamat ke akhirat.
Tidak sekali-kali untuk saya memperlekehkan jiwa dan jasa seagung ini. Jauh sekali untuk tidak mempedulikannya.
SAYA HANYA SEORANG INSAN
Tetapi saya hanya seorang insan. Saya tidak mempunyai tangan dan kaki yang lebih dari sekalian insan yang lain. Saya tidak berupaya untuk menjawab setiap panggilan, memenuhi setiap permintaan.
Allah sahaja yang tahu betapa terkilannya hati saya ketika terpaksa berkata “tidak” kepada permintaan seperti itu. Melihat wajah sahabat dan saudara seagama yang hampa dan kecewa, lantaran penolakan saya.
Tetapi saya tidak mampu untuk memenuhi permintaan itu.
Saya coretkan hal ini kerana saya mengharapkan agar sahabat tidak lupa kepada sisi manusiawi setiap insan yang kita temui. Saya juga sama seperti kita semua. Mungkin ada satu dua kelebihan, tetapi puluhan, ratusan dan ribuan kelemahan, seperti manusia yang lain.
Keterbatasan itu bukan hanya pada soal masa, walaupun ia memang isu utama. Namun masa bukan segala-galanya kerana kesibukan saya hanya sekelumit kesibukan generasi Islam lalu yang hidup dalam keberkatan masa. Tetapi batasan yang besar adalah pada pergolakan dalaman diri saya apabila terlalu banyak mengadap masalah.
Ada kalanya masalah-masalah itu menjadi pengalaman berharga buat diri saya. Kerana terlalu banyak berjumpa dengan pelbagai jenis manusia, saya telah mengalami rombakan besar-besaran terhadap cara saya berdakwah. Saya pada tahun 2007 ini, terlalu jauh berbeza dengan saya lima tahun yang lalu. Hari ini saya lebih realistik, dan masih belajar untuk memperbaikinya.
Tetapi sering juga masalah-masalah yang diberikan kepada saya melalui peserta kursus dan sebagainya, menjadi racun yang memakan dalaman diri. Walaupun cuba bertindak profesional, ada kalanya saya jadi emosional dengan masalah itu. Malah saya sendiri pun terasa perlu kepada kaunseling. Kerana itu juga, teori kaunseling menetapkan mereka yang terbabit dengan kaunseling mesti secara rutin mendapatkan khidmat kaunseling untuk dirinya. Kita adalah manusia yang terkesan oleh suasana.
Masakan tidak. Setiap hari saya mendengar dan berhadapan dengan masalah. Di IJN saya berdepan dengan situasi manusia bertarung nyawa, dan saya perlu memainkan peranan untuk menenangkan keadaan. Melihat anak-anak yang sebaya dengan anak saya sendiri, dimaklumakan oleh doktor bahawa nasibnya hanya menghitung hari, saya sebak menahan rasa untuk menenangkan si ibu dan bapa. Ada kalanya saya terganggu hingga selepas waktu bekerja.
Ditambah pula dengan panggilan telefon, email, pertemuan mata ke mata, yang penuh dengan keluhan, aduan, rintihan, yang datang bertalu-talu… sehingga ada kalanya saya terpaksa diam membatu… membisu, kerana tidak berupaya untuk menyerap semuanya.
Kerana itulah, saya lebih suka berceramah kepada mereka yang boleh memanjangkan peranan saya. Saya suka bertemu guru, berbanding anak-anak muridnya yang bermasalah. Saya lebih suka dan menghargai sesi saya bersama ibu bapa, berbanding ceramah saya kepada anak-anak mereka.
MAHU BERPERANAN
Saya berharap agar ibu bapa dan guru sedar, apakah keajaiban yang boleh berlaku, untuk saya menukar pelajar, remaja dan anak-anak yang bermasalah, dalam tempoh 1 atau 2 jam, malah sehari? Ibu bapa dan guru-gurulah yang akan terus bersama dengan mereka. Saya suka jika idea saya dapat dikongsi bersama ibu bapa dan guru, agar mereka yang dapat memainkan peranan. Mereka berada di kapasiti yang lebih efektif untuk berperanan.
Menyedari bahawa cabaran sentiasa mengatasi keupayaan, saya sering memberitahu sesiapa sahaja, bahawa kejayaan tidak bermakna jika ia hanya kejayaan diri sendiri. Seseorang itu hanya berjaya apabila beliau mampu membawa orang lain berjaya sama.
Sikap inilah yang saya harapkan, terbit dalam diri setiap mereka yang hadir ke ceramah saya. Mendengar bukan hanya untuk kebaikan diri, malah terus sekali gus berfikir bagaimana untuk ia dikongsi bersama orang lain. Ini yang ditanam oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat. Mereka mendengar ajaran Baginda, dan mereka menyampaikannya kepada mereka yang berada di bawah tanggungan dan amanah mereka.
Saya bercita-cita melihat kita semua berperanan.
Ibu bapa berperanan, guru-guru di sekolah berperanan, majikan berperanan, dan jika mahu memanggil orang luar seperti saya, utamakan peluang saya bersama ibu bapa dan guru, bukannya anak-anak, remaja dan pelajar yang bermasalah itu.
Di dalam ceramah, semasa saya memperkatakan tentang TUJUAN HIDUP, saya sering selitkan contoh-contoh ringan yang saya gunakan apabila menyampaikan tajuk yang sama kepada anak-anak dan remaja. Tujuan saya selitkan contoh itu, ialah supaya mereka yang hadir mendapat idea tentang bagaimanakah caranya untuk mereka menyampaikan perkara yang sama, kepada anak-anak dan remaja yang berada di bawah tanggungjawab dan peranan mereka.
Tetapi lazimnya, saya akan dilihat sebagai ‘pakar remaja dan sesuai dengan mereka’. Segera sahaja datang idea untuk menemukan saya dengan remaja mereka. Apabila hal seperti ini timbul, jauh di sudut hati saya, terasa adanya sedikit kecewa.
SAYA BUKAN PAKAR REMAJA
Saya bukan pakar remaja, tetapi saya hanya seorang ustaz yang berusaha untuk memahami remaja. Saya sekadar memberanikan diri untuk mencuba. Saya berusaha memahami mereka agar dakwah saya dapat mereka fahami. Tidakkah ibu bapa lebih patut memahami anak-anak mereka sendiri. Asalkan mereka bersedia untuk berlapang dada. Dengar apa kata mereka, bukan hanya memaksa mereka mendengar kata.
Saya mengharapkan apa yang ibu bapa dan pendidik perolehi dari artikel dan ceramah saya, dapat mereka bawa dan jadikan bahan bual dengan anak-anak dan remaja mereka. Saya mahu setiap yang mendengar berperanan di kapasiti masing-masing kerana saya hanya satu.
Satu hanya akan bertambah apabila kita memainkan peranan. Bukan mencari jalan mudah memindahkan peranan itu kepada orang lain. Inilah rahsia Nabi SAW mengembangkan ‘circle of influence’ Baginda.
Acuan fitrah yang dijadikan Allah, ialah ibu bapa mendidik anak-anak. Ia tidak dapat diswastakan kepada sesiapa. Sedih hati saya apabila ada pelajar yang berkata, “alangkah bagusnya kalau apa yang ustaz cakap tu, ayah saya yang cakap!” Mereke tetap mahukan sentuhan ibu bapa kerana fitrah yang Allah ciptakan untuk mereka adalah begitu.
Saya khuatir dengan trend hari ini, apabila ibu bapa sudah tidak bimbang dirinya tidak pandai mengaji. Ada duit, gunakan duit itu untuk mengupah ustaz-ustaz datang mengajar di rumah.
Sebagai hukumannya, apabila ibu bapa mati, anak pula mengupah orang lain untuk mendoakan ibu bapa mereka sendiri.
Rosaklah ummah kalau begini…
Maafkan saya atas kekurangan diri yang ada.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com 56000 Kuala Lumpur |
posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 7:31 AM |
|
|
|
:: mY LiFe :: |
|
:: MaKhzAn :: |
|
:: ArTiKeL :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: BiLanGaN MaSUk :: |
|
:: aL AzHar UniVersItY :: |
|
:: RuJukAn :: |
|
:: Haribulan :: |
|
:: CerIa :: |
| |