:: PeNenang JiWa :: |
|
:: BoIkOt :: |
|
:: TaQwIn :: |
|
:: MaSa ItU EmAs :: |
|
:: LiNk :: |
|
:: SoKonGan :: |
|
|
:: IkAtAn kAsih :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: Ip DeTecT :: |
| |
Ukraine di persimpangan |
Friday, April 27, 2007 |
Untuk kali ketiga selepas revolusi rakyat yang mengangkat Viktor Yushchenko sebagai presiden Ukraine, negara Eropah timur itu sekali lagi dilanda krisis politik yang kritikal.
Dalam pilihan raya presiden akhir 2004 itu, Yushchenko, calon pro-Barat, berdepan calon disokong rejim lama, Viktor Yanukovych.
Ketika itu, Ukraine tiba di satu persimpangan penting: memilih untuk bersama Eropah atau terus berada di bawah dominasi Rusia.
Dalam pilihan raya presiden 2004 - peristiwa terpenting negara pasca-Soviet itu sejak kemerdekaannya pada 1991 – rakyat Ukraine berpeluang memilih haluan baru selepas pemerintahan kuku besi Presiden Leonid Kuchma selama 10 tahun.
Rakyat Ukraine menghadapi pilihan antara Yushchenko yang kiblat politiknya di Barat dan Yanukovych yang mendapat sokongan oligarki lama dan Kremlin. Persaingan dua Viktor ini meletakkan Ukraine dalam perhatian seluruh dunia, terutama pihak Amerika Syarikat-Kesatuan Eropah dan pesaingnya Rusia.
Yushchenko berhasrat membawa Ukraine ke dalam sistem ekonomi pasaran bersama EU dan kemungkinan juga menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pimpinan Washington.
Selepas Presiden Eduard Shevardnadze di negara jiran Georgia dijatuhkan melalui kebangkitan rakyat, kem Yushchenko pasti mendapat semangat untuk mencontohi perubahan haluan yang terlaksana di Georgia itu.
Akhirnya, dengan sokongan EU dan AS, serta pertubuhan bukan kerajaan yang dibantu Barat, Yushchenko memenangi pilihan raya presiden, dan Yanukovych ketika itu bukan sahaja tewas dalam pilihan raya, malah dilihat sebagai simbol kepada segala kejahatan dan penyelewengan era kepimpinan diktator sebelum itu.
Yushchenko dan seorang lagi tokoh kebangkitan rakyat 2004 itu, Yulia Tymoshenko yang kemudian dilantik sebagai perdana menteri, muncul sebagai pemimpin pilihan rakyat, yang berjaya mengatasi penipuan kelompok oligarki diwakili Yanukovych.
Krisis
Tetapi, pakatan “Orange Revolution” pro-Barat itu akhirnya bertelagah sesama sendiri, menjejaskan pelaksanaan reformasi yang dijanjikan sebelum itu. Pertembungan ini akhirnya meruntuhkan pakatan itu apabila Yushchenko memecat Tymoshenko daripada jawatan perdana menteri yang baru dipegang selama hanya 10 bulan. Tymoshenko kemudian kembali aktif sebagai pembangkang.
Krisis ini berakhir sementara dengan kompromi yang meletakkan tokoh yang tewas dalam pilihan raya 2004, Yanukovych sebagai perdana menteri. Yushchenko berharap kompromi ini akan membawa kepada kestabilan kepada kerajaan pimpinannya.
Kompromi ini bagaimanapun membawa krisis politik terbaru bermula awal April lalu dengan pembubaran Parlimen dan pengumuman pilihan raya Mei nanti.
Perdana Menteri Yanukovych yang mendapat sokongan parlimen mendesak Yushchenko membatalkan dikrinya membubarkan parlimen. Kerajaan Ukraine turut menyokong pendirian Yanukovych.
Krisis ini terus berterusan dengan penyokong kedua-dua kumpulan bertentangan berarak di Kiev, ibu negara Ukraine, mengembalikan ingatan kepada revolusi ketika musim dingin 2004.
Ukraine kini sekali lagi berada di persimpangan yang bakal menentukan haluan negara itu pada masa hadapan.
Janji reformasi
Yushchenko yang menjanjikan perubahan haluan menghala ke Eropah akhirnya dilihat gagal melaksanakan janji reformasinya. Beliau juga melantik pemimpin-pemimpin yang setia pada Kiev sebagai gabenor dan menegaskan pemusatan kuasa. Reformasi yang dijanjikan masih belum terlaksana.
Akibatnya, sentimen pro-Rusia yang ingin mengubah haluan yang diambil pada akhir 2004 semakin kuat. Seperti yang dilihat melalui protes terhadap keputusan Yushchenko, Yanukovych yang tewas pada 2004 terus mendapat sokongan kuat penyokongnya.
Hakikatnya, Ukraine, negara kelahiran tokoh Marxist, Leon Trotsky itu terbahagi secara politik dengan agak jelas. Bahagian barat dikuasai Yushchenko manakala kawasan timur dan selatan yang berbahasa Rusia berdiri teguh di belakang Yanukovych.
Sejak kompromi Yushchenko dengan Yanukovych, Ukraine bergerak dengan dua pusat kuasa yang sama kuat dan sentiasa bersaing dengan satu sama lain.
Hal ini menjadi faktor penting yang menjadikan persaingan pemimpin pro-Barat dengan pemimpin pro-Moscow amat sengit dan sukar diselesaikan. Kedua-dua pihak mempunyai kekuatan yang sama.
Kini, potensi Ukraine menuju ketidakstabilan menggugat prospeknya untuk menyertai komuniti Eropah, langkah yang bukan sahaja simbolik kepada tindakan meninggalkan era autoritarian, tetapi turut membuka peluang kepada lebih banyak kemungkinan dan harapan.
Walaupun elit kuasa pro-Moscow hakikatnya tidak mahu melepaskan kuasa dengan tunduk kepada pengaruh Kremlin, hubungan budaya sebagai bangsa Slav tidak dapat dipisahkan.
Hubungan budaya dan etnik (dan juga agama) ini tidak dapat dinafikan dalam politik antarabangsa, walaupun ada hadnya. Konflik di Balkan yang turut melibatkan bangsa Slav mendapat perhatian khusus Rusia. Terbaru, usaha Kosovo untuk merdeka daripada Serbia juga diberikan perhatian oleh Moscow. Kedudukan geografi tidak menghalang hubungan ini.
Tetapi, tidak dapat dinafikan juga sentimen merdeka Ukraine, negara yang pernah menjadi mangsa kekejaman pemimpin Soviet, Josef Stalin.
Strategik
Kedudukan Ukraine di tengah-tengah, menghubungkan beberapa negara Eropah dengan Rusia menjelaskan dengan sempurna kepentingan dan kemungkinan juga peranan yang ditakdirkan kepadanya.
Ukraine sentiasa tercatat dalam sejarah Rusia dan bangsa Slav. Ukraine mencapai kemajuan pesat dan memiliki kedudukan istimewa kepada Kesatuan Soviet. Negara industri pengeluar besi ini terus berperanan penting kepada Rusia walaupun selepas merdeka daripada kekuasaan Rusia.
Ukraine menyempadani Laut Hitam yang dikuasai Rusia. Apabila Ukraine muncul sebagai negara merdeka, akses Rusia ke Laut Hitam semakin terhad dan pelabuhan penting Odesa tidak lagi menjadi milik Rusia. Sempadan Rusia dengan beberapa negara Eropah di Laut Hitam menjadi semakin jauh dengan adanya Ukraine.
Ukraine juga menjadi laluan utama saluran paip gas Rusia ke Eropah. Pertikaian harga gas Rusia dengan Ukraine pada penghujung 2005 - yang menyaksikan Rusia membalas dendam kepada Ukraine kerana tindakannya setahun sebelum itu – sekali lagi menunjukkan dengan jelas kepentingan Ukraine kepada Rusia dan juga Eropah.
Kedudukan Ukraine menjadikan negara Eropah timur ini terus menjadi rebutan Eropah dan Rusia. Ini bermakna, Ukraine berhadapan risiko menjadi medan persaingan kuasa asing, yang hampir pasti tidak meletakkan kepentingan rakyat Ukraine sebagai matlamat utama. |
posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 7:57 AM |
|
|
|
:: mY LiFe :: |
|
:: MaKhzAn :: |
|
:: ArTiKeL :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: BiLanGaN MaSUk :: |
|
:: aL AzHar UniVersItY :: |
|
:: RuJukAn :: |
|
:: Haribulan :: |
|
:: CerIa :: |
| |