NAFKAH DIRI UNTUK ISLAM: June 2006 <
HOME | QURAN | TAFSIR | GALERI | FORUM | VIDEO ONLINE | BUKU TETAMU

:: PeNenang JiWa ::
:: BoIkOt ::
:: TaQwIn ::
:: MaSa ItU EmAs ::
:: LiNk ::
:: SoKonGan ::

:: IkAtAn kAsih ::
:: WeBsItE ::
:: Ip DeTecT ::
    IP
:: SupPort ::

Free Blogger Templates

BLOGGER

Akidah Tauhid
Friday, June 16, 2006
1. 1. La Ilaha Illallah (Tiada Tuhan melainkan Allah) merupakan bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut ditujukan pengabdian melainkan Allah.

2. 2. Muhammad Rasulullah (Muhammad Utusan Allah) adalah bahagian keduanya. Ia bermaksud, pengabdian itu mestilah dilakukan berlandaskan ajaran dan cara yang ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW.

3. 3. Mentauhidkan Allah dengan makna makrifat yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu :
a. a. Tauhid Rububiyyah
b. b. Tauhid Uluhiyyah
c. c. Tauhid Al-Asma’ was Sifât

TAUHID RUBUBIYYAH

Rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb (رب) dan dari konteks linguistik, ia mengandungi beberapa maksud seperti berikut:

a. a. pemeliharaan anak atau pemeliharaan kebun. Ia menjaga dari segala kesusahan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.
b. b. Pemimpin atau pembela umat. Apabila ia memerintah ia menjalankan kepimpinan dan hukum; dan ia dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
c. c. Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga digunakan sebagai penternak atau gembala. Ia bererti ada pertaliannya dengan fungsi raja yang memerintah, mendidik dan membela serta mengawasi. Jika perkataan Rabb digunakan untuk Dzat Ilahi, maka hakikatnya Allah merupakan Raja bagi segala makhluk. Ia sebagai Tuhan, sebagai Raja bagi segala raja, yang Maha Agung dan Maha Hakim serta tidak ada yang lebih agung dan hakim selainNya. Dia yang menjadikan alam semesta dengan pengaturan yang rapi, pemeliharaan dan pengendalian pergerakan seluruh alam.

Dari segi istilah syara’, Tauhid Rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan seterusnya, di mana terkandung di dalamnya juga beriman dengan qadar.

Tauhid ini sahaja tidaklah mencukupi dalam mencapai iman dan Islam, kerana Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang musyrik juga mengakui tauhid ini. FirmanNya di dalam Surah Yunus ayat 10:

“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?”

Rujuk juga surah Az-Zukhruf ayat 87, Al-Ankabut ayat 61 dan 63

Keingkaran manusia kepada adanya pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu apabila kepompong kesombongan yang mengurung fitrah itu hilang, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah dan meminta tolong kepadanya. Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa. FirmanNya di dalam surah Luqman ayat 32:

“Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya. Tetapi tatkala Allah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar”

Daya memahami adanya Allah Yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia. Oleh yang demikian, perbahasan mengenai Tauhid Rububiyyah bukanlah merupakan sasaran utama perbincangan Al-Quran. Persoalannya adalah sama ada fitrah ini dibentuk, dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Jika dibanteras, bermakna manusia tersebut menzalimi dirinya sendiri. Sekiranya terseleweng maka akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.

Dan seandainya naluri ini dipupuk, dididik dan dipertingkatkan ketaqwaannya, maka pasti akan menatijahkan keyakinan yang bulat bahawa Allah sahajalah sumber cipta, Allah sahajalah yang berhak menerima pengabdian – ringkasnya pengiktirafan uluhiyah Allah secara mutlak dan serba merangkumi.

TAUHID ULUHIYYAH

Iaitu dengan ikhlas memberikan kepada Allah, dengan mahabbah (cinta) kepadaNya, khauf (takut) kepadaNya, raja’ (pengharapan), tawakal dan raghbah (keinginan) dan rahbah (kegerunan) hanya kepada Allah. Bahawa semua itu dibina dengan ibadat yang ikhlas zahir dan batinnya kepada dan kerana Allah. Tidak ada sekutu bagiNya, tidak dijadikan ibadat itu kepada selainNya. Seterusnya menerima segala hukum dengan yakin dan redha.

Perkataan Ilah lazimnya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai TUHAN. Penterjemahan itu tidaklah salah tetapi pemahaman Bahasa Melayu terhadap perkataan Tuhan tidak merangkumi keseluruhan makna Ilah yang dikehendaki oleh nas syara’. Selain daripada Allah, perkataan Tuhan ditujukan kepada patung-patung berhala atau dewa-dewi Hindu dan Buddha. Orang Melayu yang beragama Islam yang tidak menyembah patung-patung itu tadi sudah tentu menganggap bahawa mereka sudah menyempurnakan kewajipan mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dan bebas daripada syirik. Sedangkan pemahaman serpihan terhadap makna Ilah itu tadi akan mendedahkan mereka kepada pelbagai syirik lain yang boleh berlaku tanpa disedari dan di luar kefahaman.

Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan kepada penggunaan perkataan ILAH di dalam Al-Quran:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ILAHnya…” (Al-Jatsiyah : 23)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menujukan perkatan ILAH kepada hawa nafsu. Sudah tentu perkataan ILAH yang diertikan sebagai tuhan menurut kefahaman biasa tidak akan dapat menggambarkan hawa nafsu sebagai tuhan. Ini membuktikan bahawa perkataan ILAH mempunyai makna yang jauh lebih luas dari perkataan tuhan yang biasa.

Perkataan ILAH membawa kepada pengertian yang saling melengkapi. Untuk tujuan perbincangan, kita bahagikan ia kepada enam pengertian iaitu:

1. 1. Tuhan menurut pengertian lazim
2. 2. Tumpuan atau matlamat pengabdian
3. 3. Tempat perlindungan
4. 4. Tumpuan kecintaan
5. 5. Pemberi rezeki
6. 6. Sumber perundangan





1. 1. TUHAN – Menurut Kefahaman Lazim

Kalimah syahadah membawa pengertian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, suatu hakikat yang telah kita sedia maklumi. FirmanNya:

“Allah menyaksikan bahawsanya tidak ada ILAH melainkan DIA. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian juga). Yang menegakkan keadilan…” (Ali Imran : 18)

Allah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.

“…Dan Dialah ILAH di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui” (Az-Zukhruf : 84)

Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara multak adalah hakNya sahaja.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Ajaklah mereka yang kamu anggap (mereka itu berkuasa) selain Allah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit mahupun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagiNya.” (Sabâ : 22)

2. ILAH – Tumpuan Dan Matlamat Pengabdian

Kita mengakui bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan Allah sahajalah tumpuan serta matlamat pengabdian kita, tidak yang lain.

Bahkan sememangnya manusia dan jin itu diciptakan oleh Allah untuk tujuan pengabdian kepadaNya. Firman Allah:

Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu juga, perkataan ibadat mestilah difahami menurut pengertiannya yang sebenar agak ia tidak dipandang sempit. Pengaruh sekularisma yang memisahkan agama daripada kehidupan mendorong masyarakat agar memahami ibadat sebagai aturcara manusia berhubung dengan Tuhannya semata-mata tanpa ada kaitan dengan urusan kehidupannya di dunia dan hubungannya sesama manusia. Sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadah itu dilakukan setiap masa, di setiap tempat, meliputi dan menyerapi setiap aspek serta ruang lingkup hidup insaniah.

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam” (Al-An’am : 162)

“Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa, yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia.” (At-Taubah : 31)

Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah iaitu ialah, seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah semata-mata.

3. ILAH – Tempat Perlindungan

Kepercayaan dan kefahaman tentang kuasa Allah sudah tentu akan mewarasi fikiran bahawa tidak ada siapa yang mampu memberikan perlindungan secara mutlak selain daripada Allah. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinanNya. Dia bebas mencabut keizinan itu pada bila-bila masa dan tinggallah insan itu berpaut pada dahan yang rapuh.

Maksud ILAH sebagai tempat perlindungan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut sebagai contoh:

“Katakanlah : Aku berlindung dengan Rab manusia, Raja Manusia, ILAH manusia” (An-Nas : 1-3)

“Dialah Rab timur dan barat, tiada ILAH melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung.” (Al-Muzammil : 9)

Natijahnya, akan timbullah keyakinan bahawa Allah sahajalah yang mampu memberi manfaat atau mudharat (lihat Al-Ma’idah : 76). Ia juga akan membebaskan dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari Allah. Dengan cara ini akan hilanglah rasa gentar untuk melaksanakan hukum hakam Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan apa sahaja cabaran menurut perhitungan manusia.

Segala kemegahan dan kekuasaan kuasa-kuasa makluk itu akan menjdi fatamorgana yang sementara, tidak ubah seperti gagah perkasanya patung wayang kulit. Apabila selesai persembahan maka akan terhimpit-himpitlah mereka antara satu sama lain di dalam peti yang sempit, hinggakan yang paling gagah sebentar tadi akan berada di susunan paling bawah tertindas (lihat Al-Baqarah : 150).

4. ILAH – Tumpuan Kecintaan

Bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan La Ilaha Illallah, maka Allah sahajalah yang menjadi tumpuan kecintaan mereka bahkan tiada yang menyamai atau menyaingi kecintaan tersebut. Perhatikan maksud ayat-ayat berikut:

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah semua itu lebih kamu cintai dari cinta kamu kepada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya? Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka). (At-Taubah : 24)

“Dan ada di antara manusia orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang yang berbuat zalim itu mengetahui tatkala mereka melihat azab…” (Al-Baqarah : 165)

Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka” – Riwayat Bukhari dan Muslim

5. ILAH – Pemberi Rezeki

Kalimah Syahadah menerangkan bahawa Allah sahajalah yang memberi rezeki, manakala makluk pula hanyalah pembawa atau penyampainya sahaja dan bukannya sumber yang boleh menambah atau menguranginya walau sebesar zarah. Ini adalah hakikat yang nyata, tetapi manusia selalu terlupa terutamanya apabila mereka hilang pertimbangan ketika mengharungi pancaroba dan cabaran hidup.

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Apakah ada pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki dari langit dan bumi? Tiada ILAH selain Dia. Maka di manakah akalmu? (Al-Fatir : 3)

“Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika Allah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup qalbumu? Apakah ada ILAH selain Allah yang berkuasa mengembalikan (itu semua) kepadamu? (Al-An’am : 46)

Menerima Allah sebagai ILAH yang satu-satunya memberikan rezeki, akan mendatangkan kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai Allah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk kita walaupun seberat zarah. Begitu juga, dengan mentaati perintah Allah tidak sekali-kali akan mengurangkan rezeki kita walaupun sekecil mana pun ia. Maka betapa sia-sianya usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada Allah.



6. ILAH – Sumber Perundangan

ILAH juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum dan keputusan yang akan dipatuhi. Ia adalah aqidah yang terhasil daripada kefahaman bahawa Allah adalah satu-satunya ILAH yang Maka Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak, keagungan yang tidak terbanding. Kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu itu tidak mungkin boleh dibahagi-bahagi. Ulamak bersepakat bahawa, seseorang itu menjadi kafir jika dia beriktiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, adil dan praktikal berbanding dengan hukum Allah, atau ada sistem yang lebih baik atau setanding dengan syariatNya.

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)

Suatu ketika, seorang sahabat yang dahulunya beragama Nasrani, iaitu ‘Adi bin Hatim RA telah mendengar Nabi SAW membacakan sepotong firman Allah :

“… Mereka (Ahli Kitab) menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sdebagai Rab selain Allah, dan (juga mereka melakukan hal yang sama kepada) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah ILAH yang Maha Esa. Tiada ILAH selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (At-Taubah : 31)

Lantas beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, bahawa kami (yakni orang Nasrani) tidak pernah menyembah mereka!. Jawab Rasulullah SAW, “Tetapi mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan kemudian kamu patuh kepadanya. Dengan demikian itu kamu menyembah mereka.” – Maksud hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Jarir.

Ketentuan untuk memutuskan halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, adalah hak Allah semata-mata.. Segala sesuatu yang berkaitan dengan hal ini mestilah tunduk dan patut kepada wahyu Allah.. Undang-undang yang kita iktiraf hanyalah undang-undang Allah, atau sesuatu yang bersumber daripada undang-undang Allah, dan pastinya tidak bertentangan dengan ketetapanNya.

“Menetapkan hukum itu adalah hak Allah.” (Al-An’am : 57)

“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka Ad-Din yang tidak diizinkan Allah?” (Asy-Syura :21)

Syahadah kita menuntut supaya kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada Allah, dan inilah tanda keimanan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu maka hendaklah merubahnya dengan lisannya dan jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” – Riwayat Muslim

Ketaatan kita adalah kepada Allah, maka tiadalah kita terikat kepada undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat Allah. FirmanNya:

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah, bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)

Sifat senang dan suka kepada hukum yang selain daripada hukum Allah, adalah sifat munafiq dan dilaknat oleh Allah. FirmanNya:

“Apakah kamu tidak perhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut itu. Dan syaitan itu bertujuan mahu menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu semua (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq akan menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu” (An-Nisa’ : 60-61)

TAUHID AL-ASMA’ WAS SIFAT

Iaitu percaya dan mengakui segala nama dan sifat Allah SWT secara ijmal dan tafsil menurut apa yang telah diberitahu di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW. Di mana Allah mempunyai Al-Asma’ul Husna (nama-nama yang paling baik) dan segala sifat kesempurnaan Maha Suci dari segala kekurangan.

Perlu diketahui bahawa tauhid Al-Asma’ was Sifat ini tidak memadai untuk membuktikan keIslaman dan menyatakannya, tetapi mestilah melaksanakan apa yang lazimnya terkandung di dalam Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah. Ini adalah kerana orang-orang kafir juga mengakui beberapa sifat dan nama Tuhan tetapi tidak dengan cara yang sebenar, seperti mengakui beberapa nama Allah dan menafikan nama Ar-Rahman . Kata mereka, “Kami tidak mengenal Ar-Rahman (Maha Pemurah) melainkan Rahman di Al-Yamamah sahaja.”. Lalu Allah menurunkan firmanNya:

“Padahal mereka kafir kepada Tuhan Yang Ar-Rahman (Maha Pemurah)” (Ar-Ra’d : 30)

Mereka mengakui beberapa nama dan sifat Allah SWT tetapi mereka ingkarkan nama Ar-Rahman dengan maknanya yang sebenar, begitu juga dengan sifat-sifat Allah. Bahkan mereka mengada-adakan sifat yang tidak layak bagi Allah SWT.

PENUTUP

Perlu dijelaskan di sini bahawa enam bahagian pengertian dan pengolahan maksud serta implikasi perkataan ILAH diketengahkan di sini adalah dalam rangka untuk memudahkan pengupasan tajuk dan bukannya untuk membataskan maksud-maksud serta implikasi yang terkandung di dalam Al-Asma’ul Husna. Bahkan nama-nama dan sifat Allah yang mulia itu adalah kesimpulan kepada semua intipati Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah itu sebenarnya.

Bertafakurlah terhadap Al-Asma’ ul Husna nescaya ia akan membukakan hati kita kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap Uluhiyah dan Rububiyyah Allah SWT secara multak, tanpa sekutu dan tanpa bandingan.

Di dalam persoalan fiqh, pada keadaan-keadaan tertentu, kita dibolehkan bertaqlid kepada imam yang mujtahid. Tetapi di dalam masalah aqidah, ia tidak mungkin berlaku sedemikian rupa bahkan setiap individu wajiblah meyakinkan diri terhadap akidah yang dipegangnya secara ikhlas. Wallahu A’lam Bis Sawâb!
posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 1:26 PM   0 comments
Akidah Dan Tuntutan
Segala puji bagi Allah. Kita memuji – Nya serta memohon keampunan daripada – Nya. Kita berlindung dengan Allah dari kejahatan diri kita dan perbuatan kita sendiri. Orang–orang yang diberi hidayat oleh Allah maka ia tidakkan menemui kesesatan dan orang yang disesatkan oleh Allah maka ia tidak akan diberi petunjuk. Selawat dan salam atas nabi Muhammad ( saw ) yang tidak ada nabi selepasnya.
Persoalan akidah adalah persoalan pokok. Ia perlu diperkatakan sebelum memperkatakan persoalan yang lain, kerana yang lain itu merupakan cabang – cabang manakala akidah adalah pokok dan dari pokok itulah terbitnya dahan – dahan, ranting – ranting dan daun – daun yang merupakan ciri – ciri iman dan Islam.
Akidah ertinya pegangan. Bila disebut akidah Islamiah ertinya konsep ketuhanan, kerasulan, malaikat, kitab, hari akhirat serta qada’ dan qadar.
Tanpa sebarang pegangan terhadap perkara – perkara tersebut akan menyebabkan kufur atau jahiliyah. Demikian juga dalam apa jua perkataan, perbuatan atau kepercayaan yang bercanggah dengan dasar – dasar akidah adalah disifatkan kufur atau jahiliyah.Dan tidak ada sebarang istilah yang dipakai di dalam Islam antara iman dan kufur atau antara iman dan jahiliyah.
Antara contoh yang disebut di dalam Al – Quran tentang sifat – sifat jahiliyah ialah Firman Allah :
وقرن فى بيوتكن ولا تبرجن تبرج الجاهليه الاول – الاحزاب اية 33
Maksudnya : “ Hendaklah kamu ( isteri – isteri nabi ) tetap di rumah kamu serta jangan kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang – orang jahiliyah di zaman dahulu”.

Kebanyakan manusia mentauhidkan Allah dari segi Uluhiyyah tetapi tidak mentauhidkannya dari segi Rububiyyah. Allah menceritakan bahawa kaum Quraish percaya bahawa Allah yang menciptakan alam ini. Firman Allah :

ولئن سألتهم من خلق السموات والارض وسخر الشمس والقمر ليقولن الله فأنى يؤفكون – العنكبوت اية 16

Maksudnya : “ Dan sesungguhnya jika engkau ( wahai Muhammad ) bertanya kepada kaum musyrik itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan yang memudahkan langit dan bulan?, sudah tentu mereka akan menjawab “ Allah” maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan oleh hawa nafsu dari mengaku keesaaan Allah dan mematuhinya”.

Tauhid Rububiyyah ertinya beriman bahawa Allah yang mentadbirkan sekelian alam, menetapkan peraturan – peraturan dan undang – undang dan mengurniakan segala apa yang diperlukan oleh makhluknya, khususnya manusia untuk membolehkan mereka hidup dan beribadat kepada Allah. Tetapi ramai di kalangan manusia yang tidak mahu mentauhidkan Allah dari segi Rububiyyah, malah mereka terus lupa terhadap pengurniaan Allah dan mereka menderhaka kepada – Nyadan melakukan perbagai perlanggaran terhadap pentadbiran Allah. Mereka juga meminda peraturan – peraturan yang telah menjadi sunnah Allah yang tidak mungkin dipinda. Akibat dari pindaan itu mereka menghadapi berbagai – bagai kebuntuan di dalam kehidupan mereka.
Potongan yang kedua واشهد أن محمدا رسول الله ialah mengaku tentang Ubudiyyah ( kehambaan ) dan kerasulan nabi Muhammad saw dan mengaku apa jua yang disampaikan oleh baginda adalah benar kerana para nabi dan rasul mempunyai sifat benar lagi dibenarkan dan tugas mereka menyampaikan wahyu kepada manusia. Firman Allah :
فان تولوا فلنما عليك البلاغ – آل عمران اية 20
Maksudnya : “ Dan jika mereka berpaling ( tidak mahu menerima Islam ) maka sesungguhnya kewajipan mu hanya menyampaikan seruan Islam”.
Apabila seseorang fazkan dua kalimah syahadah di atas serta yakin tentang maknanya maka ia sudah dikatakan muslim dan mukmin. Manakala rukun – rukun iman yang lain sudah termasuk di bawah potongan syahadah di atas. Firman Allah :

يايها الذين أمنوا أطيعوا الل وأطيعوا الرسول و اولى الامر منكم فان تنازعتم فى شىء فردوه الى الله والرسول ان كنتم تؤمنون با الله و اليوم الاخر ذلك خير وأحسن تأويلا – الاحزاب اية 59

Maksudnya : Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul dan kepada orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah ( berselisih faham ) di dalam sesuatu perkara mak hendaklah kamu mengembalikan kepada kitab Allah ( Al – Quran ) dan sunnah rasul – Nya, jika kamu benar – benar beriman kepada hari akhirat, yang demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok pula kesudahannya”.

Orang yang beriman tidak boleh membuat pilihan sendiri di dalam sesuatu hukum malah ia mesti menerima segala hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan rasul – Nya. Firman Allah :

وما كان لمؤمنين ولا مؤمنة اذ قضى الله ورسوله امرا ان يكون لهم الخيرة من امرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل صلالا مبينا – الاحزاب اية 26

Maksudnya : Tidaklah harus bagi orang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan rasulnya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum – hukum Allah dan Rasulnya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”.

Orang yang beriman dilarang berkasih – kasihan dengan orang yang memusuhi Allah dan Rasulnya, kerana perbuatan itu dengan sendirinya memusuhi Allah dan Rasul – Nya.

Orang yang beriman hendaklah mengerjakan segala perintah Allah dan Rasul – Nya dan menjauhi apa jua larangan – Nya kerana Iman itu bukan semata – mata percaya malah mestilah disertai dengan perbuatan.

Ada orang menganggap bahawa tidak boleh dipaksa di dalam perkara agama ertinya diberi kebebasan kepada seseorang sama ada hendak mengerjakan ibadat atau tidak. Mereka berdalil dengan firman Allah :

لا اكراه فى الدين – البقرة اية 256

Maksudnya : “ Tiada paksan dalam Islam”.

Sebenarnya ayat di atas bukanlah menjadi dalil bagi mereka kerana apa yang dimaksudkan oleh ayat di atas ialah tidak boleh memaksa orang – orang kafir supaya memeluk agama Islam. Kerana kebenaran Islam telah jelas dan tidak perlu memaksa mereka menerimanya. Ini dapat difahamkan dari sambungan ayat tersebut :

قد تبين الرشد من الغى

Maksudnya : Telah nyata kebenaran Islam dari kekufuran

Sebagai contohnya, orang – orang asing yang datang ke Malaysia sebagai pelawat, kerajaan Malaysia tidak berhak memaksa mereka menjadi warganegara Malaysia tetapi sekiranya mereka memohon menjadi warganegara Malaysia dan permohonan mereka diluliuskan maka mereka diwajibkan mematuhi undang – undang dan peraturan negara. Kerajaan juga berhak menghukum ke atas mereka yang melanggar undang – undang negara.

KESAN DARI AKIDAH YANG BETUL

Apabila akidah seseorang itu betul serta bersih dari unsur – unsur syirik maka kelihatan seseorang itu berakhlak dengan sempurna dan menyeluruh. Ia meliputi perasaan dan juga tingkahlakunya. Antara amal ibadatnya dan urusan keduniaannya tidak terpisah. Ia mengerjakan solat maka sifat – sifat solatnya ituterbawa – bawa kepada pekerjaan – pekerjaannya. Selain dari solatnya, jika dia berpuasa maka puasanya itu terbawa – bawa kepada pekerjaan – pekerjaannya yang lain

P/s : terdapat muka surat yang tak ada.

8. Mereka tidak melakukan perbuatan zina
9. Mereka sentiasa bertaubat dan beramal soleh
10. Mereka tidak pergi ke tempat – tempat yang dlarang oleh syarak dan apabila mereka melalui tempat – tempat tersebut mereka terus membersihkan diri.
11. Mereka sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kepada mereka isteri – isteri dan anak – anak yang soleh

Inilah diantara sifat – sifat Ubudiyyah orang yang beriman dan berakidah yang lurus dan sifat – sifat tersebut ada pada Rasulullah saw dan sahabat – sahabatnya.

Kita memohon taufik dan hidayah daripada Allah agar akidah kita sentiasa teguh dan lurus serta jauh dari unsur – unsur syirik dan kita memohon juga agar Allah mengurniakan kepada kita sifat – sifat tersebut.
Amin Ya Rabal Alamin.
posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 1:23 PM   0 comments
Menghidupkan Pemikiran & Amalan Sufi
Thursday, June 15, 2006

Dialah yang telah megutuskan di kalangan orang-orang Arab yang umiyyin,

seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka

ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta

mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah.

Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad)

itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Makna Ringkas Sufi

Sesetengah orang mengatakan: “Para sufi dinamakan demikian hanya kerana kemurnian (shafa) hati dan kebersihan tindakan mereka (athar).”

Bisyr ibn al-Harits mengatakan: “Sufi adalah orang yang hatinya tulus (shafa) terhadap Tuhan. Ulama lain menyatakan: “Sufi adalah orang yang tulus terhadap Tuhan dan mendapat rahmat tulus dari Tuhan. “

Sebahagian mereka telah mengatakan: “Mereka dinamakan sebagai para Sufi kerana pada baris pertama “shaf” di depan Tuhan, kerana besarnya keinginan mereka di hadapanNya”.

Sesetengah menyatakan: “Mereka dinamakan Sufi kerana sifat-sifat mereka menyamai sifat-sifat orang yang tinggal di serambi masjid (shuffah), yang hidup pada masa Nabi SAW “yang lain-lain lagi telah mengatakan: “Mereka dinamakan sufi hanya kerana kebiasaan mereka mengenakan baju dari bulu domba (shuf).

Nabi Muhamad SAW Contoh Utama

Tidak syak lagi Nabi Muhamad merupakan contoh unggul dalam membicarakan pemikiran sufi dan alamnya. Hidup Rasulullah yang penuh dengan penderitaan, pengorbanan demi menyampaikan risalah Islam ini menggambarkan ciri-ciri kesufian dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Hampir semua kitab yang menulis tentang baginda menceritakan bagaimana keadaan rumahtangganya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah dan makanan yang enak malah alas tidurnya hanya berbekalkan tikar yang apabila tidur di atasnya, bekasnya terlekat di pipinya. Bukan sahaja sajian roti kering yang dibuat dari tepung kasar dengan segelas air minum, sebutir atau dua butir kurma yang sememangnya telah diketahui umum.

Hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari menceritakan bahawa Saiditina Aisyah pada satu ketika mengadu kepada Urwah dengan katanya: “Lihatlah Urwah, kadang-kadang berhari-hari dapurku tidak bernyala..”

Ibnu Masud menerangkan bahawa beliau pernah masuk ke rumah Rasulullah dan didapatinya Nabi sedang berbaring di atas sepotong anyaman daun kurma yang membekas kepada pipinya. Dengan sedih Ibn Masud bertanya: “Ya Rasulullah apakah tidak baik aku mencari sebuah bantal untukmu?”. “Nabi menjawab: “Tidak ada hajatku untuk itu. Aku dan dunia adalah laksana seorang yang sedang bermusafir, berteduh sebentar di kala hari sangat terik di bawah naungan sepohon kayu yang rendang, kemudian berangkat dari situ ke arah tujuan lain yang kekal”.

Dalam sebuah riwayat lain bahawa pada suatu hari Nabi teringat dalam sembahyangnya, bahawa di rumahnya masih tersimpan satu pundi-pundi emas yang belum disampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Lalu diringkaskan sembahyangnya dan dengan tergesa-gesa baginda pergi membahagi-bahagi sedekah itu kerana baginda tidak ingin sepotong emas pun tinggal di rumahnya.

Terdapat juga dalam cerita bahawa pada suatu hari pernah diletakkan orang di depannya sekaligus tujuh puluh ribu dirham emas. Semua wang itu emas itu seketika itu juga dibahagi-bahagikan dan sebutir pun tidak ada yang tertinggal. Abdul Rahman bin ‘Auf menceritakan ketika Nabi Suci SAW wafat tidak ada yang tinggal padanya kecuali sepotong roti, sebilah pedang, seekor kaldai tunggangan dan sebidang tanah untuk anaknya Fatimah Az-zahra’.

Demikianlah keadaan pemimpin agung dunia ini yang menjadi contoh berzaman untuk membuka mata sahabat dan pengikutnya melihat, apa tujuan sebenar manusia itu hidup. Untuk membuka hati keluarga dan umatnya lebih luas daripada perutnya, daripada mulutnya, daripada mata, hidung dan telinganya, sehingga tubuh yang kasar itu dapat menerima percikan cahaya Ilahi yang lebih tinggi tentang wujud, sehingga dengan demikian dapatlah manusia merasai tujuan hidup yang sementara ini untuk menuju akhirat yang kekal abadi.

Rumahtangganya menjadi contoh, pakaiannya menjadi ikutan, makanannya menjadi teladan dan sabar serta toleransinya pun menjadi panduan.

Zaman Selepas Rasulullah

Golongan sahabat merupakan golongan sufi. Mereka bersama Rasulullah bangun berjuang menentang kekufuran dan kemunafikan. Mereka tidak segan menyatakan pendirian bersama Rasulullah. Merekalah petunjuk sepanjang zaman menerangi alam yang gelap, mewarnai kehidupan manusia menyusun susur atur masyarakat, menjiwai kemurnian yang luhur dan prinsip yang tegar.

Setelah zaman sahabat, munculnya zaman para tabien yang memunculkan ramai golongan yang mempunyai sifat dan personaliti anggun yang mencirikan kehidupan Rasulullah SAW.

Saidina Ali yang namanya begitu dominan dalam silsilah tareqat, bukan sahaja tokoh kezuhudan dan hikmah, malah beliau juga adalah negarawan ulung dan pemerintah dan syahid kerana keadilannya. Surat beliau kepada sahabatnya, Malik Asytar merupakan kod etika bertulis untuk panduan pemimpin negara. Dia adalah wujud yang merealisasikan ‘rahban fi al-lail wa fursan fi an-nahar

Begitu juga Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi pemerintah yang mengekalkan kezuhudan walaupun sekelilingnya penuh kekayaan dan kemewahan. Sehingga terdapat kisah yang memperakui bahawa pada waktu tersebut tidak ada seorang pun rakyatnya yang layak menerima zakat lantaran kekayaan dan kemewahan umat. Sungguhpun demikian, style dan cara hidup pemimpin Khalifah Umar Abdul Aziz tidak pernah disebut sebagai pemboros, pengaut kemewahan negara, tidak pernah dicatatkan tentang ketamakan harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan harta rakyat dan seumpamanya.

Zaman Moden

Penyakit hubbun dunya dan hubbul jaah telah menjadi satu macam penyakit yang disukai, diburui tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Keegoan dalam diri manusia untuk menerima kebenaran juga merupakan penyakit hati yang melanda masyarakat pada hari ini.

Kebejatan sosial, politik dan ekonomi yang melanda kita pada hari ini kadang-kala memberikan kita satu konklusi bahawa lantaran pengabaian terhadap usaha menyucikan jiwa, usaha mengislahkan diri, manusia terkapai dalam medan kehidupan malah seringkali lemas mencari petunjuk kebenaran lantas tersadai di pinggir khayalan.

Apakah ciri-ciri kesufian yang memancarkan jiwa zuhud, qanaah, kesederhanaan, redha, mahabbah, syukur dan sebagainya itu hanya relevan dengan zaman silam yang hanya layak untuk dipaparkan dalam sejarah semata-mata?

Apakah dengan realiti kita pada hari amat sukar rasanya untuk sekurangnya kita mencontohi mereka dalam kehidupan kita? Apakah zaman sekarang tidak relevan untuk membicarakan sufi dan kepentingan tentangnya sedangkan kesufian inilah yang memberikan kegemilangan dan kecemerlangan kepada tamadun umat Islam malah melahirkan jiwa kental, jiwa berani, teguh dan sabar menghadapi penderitaan dan cabaran malah berasa teguh dalam menyelusuri peredaran zaman menongkah arus cabaran.

Apakah zaman kini yang disebut zaman moden amat janggal untuk kita bicarakan kesufian lantaran canggihnya teknologi yang kita miliki, majunya kehidupan duniawi yang kita huni ini. Tetapi dalam masa yang sama umat manusia pada hari ini sedang terkepung dalam bahaya Jahiliyyah abad baru. Budaya cintakan kebendaan sudah menjadi paparan kehidupan manusia, saban waktu malah setiap detik kita didendangkan dengan alunan pembangunan kebendaan yang tidak segan silu memaparkan personaliti-personaliti mazmumah. Bahkan lebih parah mereka bukan sahaja berbangga dengan corak kehidupan yang ‘maju’ ini malah menuding telunjuk menyatakan pihak lain sebagai penghalang kemajuan, kolot dan pemecah belah umat.

Al-hasilnya dapat dilihat, kemajuan IT, pembangunan kebendaan telah dijadikan alat untuk membina kekayaan secara individu. Yang miskin dan lemah terus terancam. Kemurnian akhlak, keluhuran budi dan tingkahlaku telah dipinggir dan dipisahkan dalam agenda pembangunan. Tokoh revolusi dan sufi, Abu Dzar Al-Ghifari ketika berteriak di hadapan mahligai mewah Muawiyah, beliau berkata: “Jika istana ini kamu bina dengan hartamu sendiri, kamu berlebih-lebihan. Sekiranya engkau dirikan istana ini dengan harta rakyat sesungguhnya kamu telah khianat.”

Runtuhya institusi politik yang berorientasikan ism-ism hubbun dunya dan hubbul jaah telah dapat kita saksikan kini. Percakaran dan perpecahan sesama mereka menjadi isu yang tidak sudah-sudah penghujungnya.

Sifat mazmumah yang tertanam dalam hati masyarakat bukan lagi perkara baru yang didedahkan. Sifat hasad dengki, tamak, pentingkan diri sendiri adalah paparan cerita yang saban hari menjadi penyakit hati dalam masyarakat.

Lantaran itu seluruh masyarakat dan negara bergelut dengan masalah yang tidak-tidak sudah-sudah jalan penyelesaiannya.

Kegersangan Dunia Moden

Ketika modenisasi datang ada beberapa reaksi kaum muslimin. Pertama kagum dengan modenisasi sehingga mereka mellihat kembali kesesuaian Islam dalam dunia sekarang. Lalu timbullah gejala sekularisme yang memisahkan agama dan politik kerana mereka merasakan hukum Islam sudah tidak relevan.

Kelompok kedua ialah mereka yang menjauh diri daripada apa saja yang bernama kemodenan. Segala bentuk pemodenan dianggap Barat dan jahat. Akhirnya mereka sendiri terperosok dan terpisah daripada masyarakat. Hasilnya mereka bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kontemporari bahkan mereka juga gagal memahami kenyataan hidup.

Kelompok ketiga ialah mereka yang bereaksi dengan penuh kritis dan meneliti modenisasi dari segala aspeknya-positif dan negatif. Misalnya, kita mahu ulama-ulama yang dibesarkan di bawah bimbingan pondok dan asuhan hauzah mampu membuat kritikan terhadap sistem dan fahaman sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan bermacam isme lagi. Murtadha Muthahhari misalnya sangat pakar dalam menganalisis akar-akar pemikiran marxisme.

Orang-orang moden, terutama Barat dan para pendokongnya, dalam dunia moden kecewa terhadap modenisasi kerana kegersangan rasional yang dibawanya. Maka masyarakat mula menginginkan sesuatu yang tidak logik, tidak rasional. Sehingga lahirlah apa yang disebut post-modernisme. Di dalam filem lazimnya, logika banyak dilempar jauh kerana mereka sudah jemu dengan logik, kecewa dengan rasionalisme dalam kehidupan.

Lalu mereka mula memasuki hal-hal yang mistikal, yang di luar rasional. Maka di sinilah peranan para sufi dan tasawwuf itu perlu memainkan peranan bagi mengisi kekosongan masyarakat moden kini. Ibnu Arabi atau Syed Hussein Nasr misalnya, selain berpegang kepada rasional yang kuat, juga berpaut kepada dimensi mistikal-tasawwuf. Sekali lagi tasawwuf harus memberi kekuatan terhadap kerinduan-kerinduan yang digersangkan oleh rasionalisme moden. Tragedi ‘Sauk’ adalah contoh bagaimana masyarakat yang terdiri daripada profesional, ahli korporat dan lain-lain mengidap ‘kerinduan’ mistikal ini.

Jika kita soroti kedatangan dan perkembangan Islam di Malaysia khususnya Kelantan, Islam muncul kepada kita dengan wajah yang menyenangkan masyarakat pada waktu itu. Majlis tahlil, sambutan Maulid Nabi, ziarah kubur dan sebagainya begitu cocok dengan mereka. Dan tradisi ini terus berkembang dan sentiasa dipelihara oleh para tok lebai, tok ayah, para ulama silam dan diwarisi oleh generasi berpendidikan agama hari ini. Kesannya Islam terus mendapat sambutan dan terbukti pemupukan bi’ah Islamiyyah lebih ketara di Kelantan. Dan inilah juga faktor mereka terus ingin mengekalkan kepimpinan ulama.

Relevansi Sufi Dalam Dunia Moden

Cahaya iman yang terpancar daripada jiwa mukmin yang bersih sahajalah yang mampu memberi sinar kepada kehidupan kini.

Lantaran itu apabila kita berbicara mengenai perkara ini tidak ada formula yang ampuh dan berkesan melainkan kita mengembalikan diri kepadaNya yang Maha Esa, mengembalikan kepada penginsafan bahawa dunia yang bersifat sementara ini bukan segalanya yang kita cari. Bahawa dunia yang mengilusikan waktu yang sedetik ini tidak mungkin untuk pergunakan untuk kepuasan diri dan hawa nafsu kerana natijah daripada perkara tersebut adalah sesal dan binasa.

Sebab itu Allah sebut dalam Al-Quran: (Surah An-Naazi’at: 37-39)

ُErtinya: Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya.

Apabila kita berbicara mengenai Sufisme di tengah masyarakat moden, ada suara sumbang yang menyatakan bahawa ini adalah satu usaha memutarkan jarum jam ke belakang, menyelusuri zaman silam dengan segala kemunduran. Menyingkapkan tirai kemiskinan dengan segala kesusahan dengan pelbagai bayangan yang terjelma di minda kepala mereka untuk memencilkan pengertian dan penghayatan sufi ini.

Relevansi Sufism pada hari ini, dilihat dari persepsi dan pandangan yang keliru. Kini apabila istilah sufism diketengahkan ramai yang memahami bahawa Sufi merupakan cara hidup golongan tertentu yang mengamalkan zikir-zikir tertentu, tidak suka keluar untuk bergaul bersama masyarkat, berperilaku tidak rasional, memencilkan diri dari kehangatan bermasyarakat dan seumpamanya.

Tasawwuf dianggap anti sains, anti kemajuan dan anti kemodenan. Bagi para pembencinya tasawwuf difahami sebagai suatu usaha menghindari dunia, menyibukkan diri dalam zikir dan doa. Biarlah tasawwuf dipelajari oleh orang tua dan uzur sebelum mati. Kadang kala seorang aktivis menganggap tasawwuf menurunkan semangat juang seseorang untuk menentang kezaliman. Tasawuf hanya ubat untuk menghalau hantu raya dan santau. Selain bank Islam, sains Islam, universiti Islam, ada juga klinik Islam iaitu tasawwuf.

Namun perlu disedari bahawa jiwa sebenarnya walau apapun disebut tentangnya kita memerlukan pentazkiyahan. Walau macamana zaman berubah sekalipun jiwa perlu diubati dari penyakit. Kerana penyakit ini jika tidak diubati akan menjadi barah merosakkan manusia.

Lantaran itu alim ulama’ yang silam seperti Imam Al-Ghazali mengungkapkan pengertian penjernihan jiwa bukan setakat mengamalkan amalan tertentu dan aktiviti tertentu semata-mata. Tetapi sebenarnya apa yang perlu dilihat adalah Imam Ghazali telah menetapkan dasar sufi secara keseluruhan untuk diamalkan.

Bukan apabila disebut mengenai sufi, ia adalah satu juzu’ dengan juzu yang lain tetapi sebenarnya apa yang disebut pentazkiyahan nafs adalah satu usaha untuk menjadikan diri kita sebagai hamba kepada Allah, yang benar-benar patuh kepada perintahNya, menjadikan hidup di dunai ini sebagai jambatan ke akhirat. Menjadikan hidup ini sebagai tempat berteduh dari perit matahari buat sementara waktu bagi meneruskan perjalanan yang panjang dan abadi. Mereka menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mencari bekalan akhirat. Menjadikan dunia ini sebagai tempat membina kemakmuran dan pengislahan. Oleh sebab itu mereka teguh dengan prinsip dan keyakinan semata-mata dengan nama Islam-walau karihal kafirun.

Sebaliknya sufi dengan ciri-ciri yang ada padanya merupakan nadi kekuatan, menjadi penjana segala kemajuan malah menjadi intipati kepada pembangunan masyarakat yang ampuh dan terjamin.

Menakjubkan kalau kita melihat nama-nama besar dalam dunia sufi, mereka merupakan cermin ketokohan. Al-Hallaj, Al-Qawariri dan sebagainya adalah pemuka masyarakat dalam pemerintahan dan keagamaan. Jalaluddin Ar-Rumi pernah menjadi menteri. Malik bin Dinar adalah seorang sultan. Sultan Akbar yang berjaya menyatukan India dalam kedamaian dan kemakmuran adalah seorang raja yang sufi. Tareqat Sanusiyyah di Tunisia berhasil menghalau penjajah dan membentuk Libya. Imam Khomeini, pemimpin Revolusi Islam Iran yang menggemparkan itu dikenali sebagai seorang tokoh irfan abad ke-15. Berkat aliran-aliran sufi, bangsa Chechen yang memelihara Islam dalam cengkaman komunisme bangkit menentang Rusia sendirian. Terakhir, pejuang Hizbullah Lebnon yang berjaya menghambat Israel juga menghidupkan amalan sufisme dalam rutin kehidupan mereka.

Perlu difahami di sini ialah sebenarnya sufi berasal daripada makna penyucian jiwa. Penyucian jiwa daripada penyakit hati, keegoan, ketamakan dunia, harta, pangkat dengan menginsafi bahawa dunia yang bersifat sementara ini bukan segalanya yang dikejarkan. Bukan matlamat utama yang hendak dicapai. Tetapi dunia ini adalah jambatan menuju akhirat. Tasawwuf yang sebenarnya ialah gaya hidup yang meliputi sikap, pandangan dan tingkah-laku. Tasawwuf bukan mekanisme pelarian dan persembunyian. Para sufi bukan meninggalkan dunia. Bahkan mereka ingin menggoncangnya. Tasawwuf juga tidak menafikan syariat. Tasawwuf berpijak pada syariat untuk menjalani tareqat agar mencapai hakikat.

Penutup

Masyarakat harus sedar bagaimana seorang sufi mampu berperanan dalam pembangunan dan perkembangan ummah kerana seseorang sufi yang sebenar adalah mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik dan seikhlas mungkin. Zuhud dalam tasawwuf bukan kependetaan yang menolak dunia tetapi memiliki dunia. Keserakahan dan rakus terhadap kekuasaan dan kekayaan didorong oleh hilangnya rasa takut kepada Allah dan lupanya manusia dengan azab nerakaNya. Kezaliman dalam masyarakat juga berpunca daripada sirnanya rasa mahabbah sesama insan. Manusia sanggup bertuhankan manusia lain disebabkan tidak ada kebergantungan dan pergharapan kepada Allah.

Maka sufisme pada hari ini perlulah diungkapkan sebagai satu usaha untuk menuju redha Allah, cinta dan patuh kepada perintahNya dengan menempuh perjalanan Ilahiyyah seperti taubat, khauf wa raja’, zuhud, mahabbah, sabar dan sebagainya yang dengannya manusia akan lebih memakmurkan dunia ini menjadi ‘baldatun thaiyibatun wa rabbun ghafur’.

Wallahu ‘a’lam

Oleh:

YAB Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat

Menteri Besar Kelantan Darulnaim

posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 11:40 PM   0 comments
Tazkirah Duat

PENDAHULUAN:

Penyelesaian secara Islam seperti yang dikehendaki dengan wujudnya masyarakat dan pemerintahan islam,mengembalikan semula cara hidup islam mestilah didahului oleh wujudnya gerakan islam yang sedar dan insaf,yang menyediakan suasana perjuangan dan menyeru orang ramai agar menerima konsep perjuangan disamping mengeluarkan para penyokong dan pendokong harakah.

A. PERKARA-PERKARA YANG MESTI DIATASI DALAM AMAL JAMAI’E.

Ini adalah satu penyakit yang berlaku di kalangan anggota-anggota jamaah islam sendiri.Perkara ini tidak seharusnya berlaku kepda mereka yang menggabungkan diri dalam jamaah islam.Hasil dari sikap ini lahirlah sifat-sifat berikut:

i : Mengutamakan masalah peribadi melebihi jamaah .

ii : Hanya melakukan kerja-kerja yang boleh memberi keuntungan peribadi.

iii : Hilangnya sifat At-Ta’awun .

iv : Tidak sanggup berkorban.

2.0 Masalah pergaulan.

Fenomena ini begitu ketara sekali berlaku di kalangan anggota jamaah dan seharusnya di beri perhatian yang sungguh-sungguh untuk mengatasinya.Termasuk di dalam perkara ini ialah :

i : Kurangnya ukhuwwah di kalangan anggota jamaah.

ii : Mu’amalat yang tidak baik.

3.0 Ananiah.

Yang dikehendaki dengan ananiah di sini ialah keinginan seseorang anggota jamaah untuk menunjuk-nunjuk diri rajin bekerja apabila berada di hadapan masyarakat bertujuan untuk mengejar gelaran semata-mata dan apabila mendapat status yang baik,maka berusahalah terus untuk mengekalkan kedudukan tersebut dengan menolak setiap individu yang cuba menandingi dan menghancurkan setiap peribadi yang boleh mengancam dan merebut tempatnya.Ianya berpunca dari sifat kasihkan dunia dan akan melahirkan sifat hasad dan dengki.

4.0 Mengikut hawa nafsu,mementingkan dunia dan tertarik hanya dengan pendapat

sendiri.

Sifat-sifat ini perlu dihapuskan dari diri mereka yang berada dalam jamaah islam.Adapun cara untuk membebaskan anggota jamaah dari sifat yang disebutkan tadi,insya-allah akan kita bincangkan di halaman yang seterusnya.

5.0 Syakhsiah yang lemah.

Anggota jamaah seharusnya menyedari bahawa mereka adalah da’ie Ilallah yang menyeru masyarakat kembali kepada islam.Jadi,sebelum menerjunkan diri ke arena perjuangan,maka mereka perlulah memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki diri orang lain.Akibat dari kelemahan syakhsiah ini,maka timbulnya anggota-anggota yang mempunyai sifat-sifat berikut:

i : Tidak beramal dengan apa yang diperkatakan.

ii : Tidak mempraktikkan ajaran islam dalam kehidupan seharian.

iii : Kurangnya kesedaran dan malas serta cuai dalam melaksanakan

kewajipan yang dituntut.

6.0 Tidak dapat menjadi qudwah hasanah.

Pendokong harakah perlu menjadi qudwah dan uswah kepada mad’u kerana ianya amat mempengaruhi mereka.Tanpanya akan menyebabkan mad’u menjauhi dakwah yang dibawanya dan adakalanya boleh memberi fitnah kepada harakah yang didokonginya.

7.0 Kurangnya kepatuhan kepada qiadah.

Perkara ini berlaku kerana beberapa faktor.Kadangkala ianya berpunca dari jundiyyah(ahli) ataupun mungkin juga qiadah itu sendiri.

B. CARA PENYELESAIAN

1.0 Bagi mengatasi penyakit ini,para anggota perlulah diingatkan betapa buruknya

sifat ini kepada seorang da’ie kerana diantara syarat awal kejayaan seorang da’ie itu ialah sifatnya yang suka memberi khidmat dan menolong orang lain serta bekerja untuk menyempurnakan keperluan mereka dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri.Islam sendiri menganjurkan kepada At-Ta’awun dan menjauhi sifat-sifat yang telah di-

nyatakan.Kalau kita perhatikan kisah para sahabat,disana terdapat banyak kisah yang menggambarkan bagaimana beratnya pengorbanan yang mereka telah lakukan.Segala pengorbanan itu berbentuk tenaga,harta benda,waktu dan juga jiwa dan raga.

Para pendokong harakah mestilah menyedari bahawa mengenepikan diri sendiri,sanggup berkorban harta benda,tenaga,waktu dan jiwa adalah merupakan pendahuluan yang membantu kepada kejayaan kerja-kerja amal jamai’e.Umat islam adalah umat yang memerlukan pengorbanan yang sedemikan rupa sehingga mereka berjaya mewujudkan kerja-kerja amal jama’ie yang berupaya menghasilkan cita-citanya.

2.0 Untuk mengatasi masalah ini,maka perlulah dilakukan beberapa perkara.

Diantaranya ialah:

i : Mengadakan program ziarah yang berterusan.

ii : Menggalakkan anggota untuk membiasakan diri bagi menghadiri program-

program dan tempat-tempat umum.

iii : Perlunya tazkirah,nasihat yang berterusan dan tunjuk ajar dengan cara

yang sewajarnya.

3.0 Oleh kerana penyakit ini berhubung kait dengan permasalahan hati,maka

cara untuk mengatasinya adalah sebagaimana yang disebut oleh Hujjatul Islam Al-Imam Ghazali r.a.m dalam kitabnya Ihya Ulumiddin di dalam bab merawat penyakit hati.Ianya boleh diatasi dengan tiga perkara:

i : Guru yang mursyid.

ii : Sahabat yang sholeh.

iii : Serangan dan kritikan dari musuh.

4.0 Untuk mengatasi penyakit mengikut hawa nafsu,anggota jamaah haruslah

di bekalkan dan di ingatkan dengan firman Allah s.w.t :

"وأما من خاف مقام ربه ونهى النفس عن الهوى وإن الجنة هى المأوى"

(سورة النازعات أية40-41)

Sementara bagi mengatasi perasaan sayang dan cintakan dunia yang fana’ ini,maka para anggota jamaah perlulah diingatkan dengan hari kemudian(qiamat).

Allah s.w.t berfirman :

"وللآخرة خير لك من الأولى"

(سورة الضحى أية 4)

Manakala bagi mereka yang tertarik dengan pendapat sendiri,mereka patutlah diingatkan kepada betapa pentingnya pendapat jamaah kerana Allah s.w.t. telah berfirman :

"وأمرهم شورى بينهم"

(سورة الشورى أية 38)

Tambahan pula nabi Muhammad pernah bersabda:

"لا تجتمع أمتى على ضلالة"

5.0 Ianya dapat diatasi denga cara memperbanyakkan program-program pentarbiyyahan kepada anggota jamaah.Mengenai tarbiyyah ini,Syeikh Said Hawwa r.a.m telah menulis dalam bukunya Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah,bahawa tarbiyyah yang sebenarnya mestilah bermula dengan penanaman iman yang berasaskan aqidah yang soheh.Seterusnya beliau mencadangkan bahawa tarbiyyah itu mestilah mengambil kira perkara-perkara berikut:

i : Murabbi.

ii : Manhaj.

iii : Biah.

6.0 Sirah nabawiyyah telah menggesa proses pembentukan mestilah dilakukan melalui

qudwah kerana kesannya lebih kuat dari kata-kata.Oleh kerana itulah para anggota jamaah hendaklah sentiasa bermuhasabah mengenai perkara ini kerana kitalah golongan Azhari yang diharapkan untuk menjadi qiadah dimasa hadapan.Sesungguhnya Al-Qiadah As-Sholehah tidak mungkin wujud tanpa qudwah hasanah.Saidina Ali k.r.m menyatakan “Siapa yang melantik dirinya sebagai imam kepada orang ramai ,beliau hendaklah memulakan dengan membetulkan dirinya sebelum membetulkan orang lain.Orang yang mengajar dan membetulkan dirinya lebih utama untuk dimuliakan dari orang yang mengajar dan membetulkan orang lain”.

7.0 Jika sekiranya perkara ini melibatkan anggota jamaah,maka cara mengatasinya ialah mengingatkannya bahawa ketaatan kepada pimpinan jamaah islam itu sendiri menggambarkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t :

"يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولى الأمر منكم"

(سورة النساء أية 59)

Sejarah Rasulullah menunjukkan kepada kita bagaimana contoh ketaatan para sahabat kepada baginda dalam peperangan Hunain.Begitu juga dengan kisah peperangan Tabuk.

Dalam masa yang sama pimpinan juga hendaklah sentiasa muhasabah dan memperbaiki kecacatan yang ada supaya dapat menimbulkan thiqah yang tinggi di kalangan ahli.Apabila ini berlaku,maka mereka akan memberikan kepatuhan dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap apa jua arahan yang diberikan.Ini adalah kerana kepatuhan dan ketaatan itu tidak akan wujud tanpa thiqah.

PENUTUP

Demikianlah secara ringkas yang dapat disediakan dalam waktu yang cukup terbatas ini.Di harap dapat membuat teguran jika sekiranya disana terdapat kesilapan dan kesalahan. Semoga hasil perbincangan ini dapat memberikan manfaat kepada kita dalam rangka usaha untuk membentuk para anggota yang bersifat dengan jundullah kearah melahirkan syakhsiyyah muslim yang mampu untuk menangani permasalahan ummah dan seterusnya mempertahankan syakhsiyyah ummah.

Sekian,Terima kasih

posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 11:35 PM   0 comments
:: mY LiFe ::





:: Nama::
Mohd Nazri Bin Amir Hamezah
:: Pengajian ::
Graduan Kuliah Usuluddin Syukbah Tafsir University Al Azhar Mansurah,Egypt :: Dilahirkan ::
Pada 4 ramadhan 1400 Dihospital Kota Bharu
:: Cita-cita::
Mati Dalam Mempertahankan Hak-hak Islam
:: MaKhzAn ::
:: ArTiKeL ::
:: WeBsItE ::
:: BiLanGaN MaSUk ::
Wahai kawanku, Segeralah tunaikan solat di awal waktu Dikala mendengar azan Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan Di situ ada sumber pertolongan Di situ ada sumber taufiq Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran. ... dimulakan dengan menyebut solat di awalnya Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat... Juga di medan perang. Walaupun... Di saat genting dan cemas.

:: aL AzHar UniVersItY ::
:: RuJukAn ::
:: Haribulan ::


:: CerIa ::