NAFKAH DIRI UNTUK ISLAM: July 2006 <
HOME | QURAN | TAFSIR | GALERI | FORUM | VIDEO ONLINE | BUKU TETAMU

:: PeNenang JiWa ::
:: BoIkOt ::
:: TaQwIn ::
:: MaSa ItU EmAs ::
:: LiNk ::
:: SoKonGan ::

:: IkAtAn kAsih ::
:: WeBsItE ::
:: Ip DeTecT ::
    IP
:: SupPort ::

Free Blogger Templates

BLOGGER

Syafafiyah Rohani
Tuesday, July 25, 2006

Alhamdulilllah kita bersyukur kepada Allah dengan limpah kurniaNya yang telah memungkinkan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) melalui Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama’ Malaysia (SPPUM), terus menganjurkan Madrasah Ulama III yang kali ini membicarakan tentang tasawwuf dan hubungannya dengan pembangunan masyarakat moden.

Dalam perbincangan Madrasah Ulama’III ini beberapa kertas kerja akan menekankan aspek sejarah tasawwuf, tarekat, ciri-ciri tasawwuf dan tarekat yang baik, manhaj sufiyyah, beberapa silap faham mengenai tasawwuf dan tarekat, penyimpangan atas nama tarekat dan bagaimana menghidupkan amalan tasawwuf yang relevan dengan trend perjuangan untuk mengubah masyarakat.

Kertas-kertas kerja yang telah diajukan oleh wakil PUM, PERGAS, para pensyarah dari universiti tempatan seperti UM, UKM, dan juga pidato perdana yang akan disampaikan oleh alim rabbani YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz adalah cukup berharga untuk digarap dan diamalkan.

Saudara dan saudari sekalian,

Apa yang menghantui masyarakat sekarang dari malapetaka politik, moral, ekonomi, informasi dan budaya adalah di antara lain disebabkan oleh kemerosotan akhlak dan rohaniah individu dan masyarakat itu sendiri; baik pemimpin mahupun pengikut. Ia mencerminkan kepincangan pembangunan syahsiah dalam aspek-aspek yang saling berkaitan sama ada dari segi mental, sosial, fizikal, emosi dan lain-lain.

Sebab itulah usaha membangun domain-domain kemanusiaan ini merupakan suatu kewajipan Tarbiyyah Islamiyyah yang paling mendesak. Antara domain penting ialah domain ruhiyyah atau rohaniah.

Pendidikan rohani sebenarnya merangkumi aspek preventif seperti mengelakkan umat Islam dari kesesatan aqidah dan kufur. Ia menghindarkan mereka dari keadaan tidak seimbang daripada segi emosional dan mental sehingga melakukan perbuatan haram, durjana dan kezaliman. Ia juga merangkumi aspek pembangunan dan pengukuhan nilai-nilai rohaniah dalam diri umat Islam seperti ibadah, solat, zikir dan lain-lain. Akhirnya ia merangkumi aspek treatment atau rawatan dan pengawalan. Ini diusahakan melalui taubat, tazkirah, tarbiyah, tau’iyah, ‘ilajiah dan lain-lain.

Saudara dan saudari sekalian,

Tahap-tahap amal manusia menuju Allah sebagaimana yang dicerakinkan oleh Al-Qusyiri merangkumi taubat, mujahadah, khalwah, uzlah, taqwa, warak, zuhud, al-samt (diam), al-ju’(melaparkan diri), meninggalkan syahwat, tawaddu’, menyalahi keperluan nafsu, meninggalkan hasad dan mengumpat, bersifat qanaah, al-huzn, (berdukacita), syukur, sabar, muraqabah, ridha, ‘ubudiah, iradah (kemahuan), istiqamah, jujur, malu, bebas daripada perhambaan kepada makhluk, zikir, futuwwah (kasatria), berakhlak mulia, pemurah, berkorban, cemburu kerana Allah, budaya berdoa, merasa perlu bergantung kepada Allah, beradab dalam perjalanan, mengamalkan budaya bersahabat yang sihat, suka mendengar al-Quran, menghayati tauhid yang sebenar, ma’rifah kepada Allah, menjaga hati syaikh, menjaga adab mengenai masa, melaksanakan yang fardhu dan wajib serta beramal dengan yang sunat.

Ketelusan jiwa atau syaffafiyyah ruhiyyah diraih dengan pelbagai cara. Al-marhum Syeikh Said Hawa menerangkan ia merangkumi sembahyang, zakat dan berbelanja di jalan Allah, berpuasa, menunaikan haji, membaca al-Quran, berzikir, berfikir tentang penciptaan Allah, mengingati mati di samping memendekkan angan-angan, al-muraqabah, al-muhasabah, al-mujahadah, muatabah melaksanakan amal makruf nahi mungkar, berdedikasi, tawadu’, mengenali tipu daya syaitan, bersungguh-sungguh mengatasinya, mengenali penyakit hati atau jiwa dan bersungguh-sungguh merawatinya.

Agenda dan program menjernihkan jiwa ini mungkin begitu panjang kalau hendak direntang di sini. Ia merangkumi jihad menentang kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakaan undang-undang dan cara hidup Allah dan seterusnya. Ia tentu akan dibincangkan dengan panjang lebar dalam kertas-kertas kerja yang akan dibentangkan.

Saudara dan saudari sekalian,

Bercakap mengenai Syaffafiyyah ruhiyyah maka saya dapati ia ditunjangi oleh dua Manazil atau sifat penting iaitu ‘Rabbaniah dan Siddiqiah’. Menurut al-Marhum Syeikh Said Hawa1:

"اما الربانية فانها صديقية وزيادة فمبنى الصديقية على معرفة الله والعبودية له, اما الربانية فى مع ذلك علم وتعليم ونصيحة وشهادة على الخلق وحكم بما انزل الله و امر بمعروف ونهي عن منكر...."

Sifat Rabbaniah terdiri dari sifat Siddiqiah dan tambahannya. Siddiqiah ditegakkan atas Makrifat dan ‘Ubudiah kepada Allah . Manakala Rabbaniah pula selain dari yang telah diungkapkan mengandungi ilmu, pengajaran, nasihat, kesaksian terhadap makhluk, menghukum dengan undang-undang yang diturunkan oleh Allah, menyuruh yang ma’ruf dan mencegahkan yang munkar...

Manakala Siddiqiah menurut al-Ghazali merangkumi enam jenis kejujuran: kejujuran lidah, kejujuran niat dan kemahuan (iaitu merujuk kepada sifat ikhlas) kejujuran azam, al-wafa’ (pengkotaan apa yang dijanjikan) kejujuran dalam beramal atau berkerja dan al-sidq atau kejujuran dalam maqamat al-din, atau amalan-amalan agama.

Insan rabbani pula ialah insan yang memenuhi apa yang dihuraikan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya terhadap ayat 79 surah al-Imran.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada hemat saya tarbiyyah ruhaniyyah yang ideal bukan hanya membuahkan keinsafan, khasyah, hubb, raja’ dan taqwa, tetapi juga tarbiah yang menjana semangat dan ruh perjuangan untuk menentang kezaliman, ketidakadilan, kejahatan dan penyalahgunaan kuasa. Tarbiah ini disebut sebagai tarbiah ruhaniyyah harakiah di mana aspek perjuangan dan jihad diperkasa dan diperkukuh untuk merubah masyarakat daripada berteraskan jahiliah kepada masyarakat yang bebas, merdeka dan bertamadun.

Jihad merupakan madrasah ruhiyyah yang amat hebat menyepuh jiwa dan menggilap ruhaniyyah seseorang sehingga mengatasi martabat ‘Abid. Kalau abid hanya bergelumang dengan air mata; namun mujahid pula bergelut dengan kilauan mata pedang atau percikan api peluru serta darah yang bersimbah daripada luka-luka yang dialaminya. Demikianlah Islam membawa satu paradigma baru yang membatalkan trend kerohanian yang mandul dan Darwisyiah. Trend kerohanian yang beku lagi membekukan. Rela diperhamba dan ditindas tanpa semangat perjuangan dan kejantanan. Trend ini adalah trend yang disokong oleh para penjajah dan kuncu- kuncunya. Ia membentuk jiwa yang betah dengan penjajah dan semangat penjajahan

Masyarakat tidak akan dapat dibangun dengan jiwa seperti ini. Sebaliknya masyarakat

hanya dapat digerakkan, dibangun dan direformasikan oleh tarbiyyah ruhiyyah yang syumul dan dinamik. Tarbiah yang manghasilkan perubahan yang menyeluruh dalam pemikiran, sikap, kelakuan, kaedah perjuangan dan gerak kerja aktivis masyarakat itu sendiri. Tarbiah Ruhiyyah yang melahirkan manusia yang berjiwa bebas dan merdeka. Rela berkurban kerana prinsip dan dasar perjuangan.

Saudara dan saudari sekalian,

Dalam menela’ah beberapa buah kitab berkaitan dengan tema Madrasah kali ini saya tertarik dengan pesanan al-Marhum Syeikh Said Hawa yang mewasiatkan pesanan berikut kepada para kekasih Allah: Beliau berkata

“Pesananku kepada kekasih Allah:

Pertama: Hadirilah majlis ilmu, pilih yang mana lebih baik dan menguntungkan. Jangan berjanji melainkan mesti bersama dan menurut titah perintah Allah melalui ajaran al-Quran dan Sunnah Rasul, menurut jejak para ulama’ leluhur dari kalangan Ahli Sunnah Wa Jamaah. Kerana beriltizam dengan kesetiaan tanpa ilmu mungkin menambah dosa dan membawa padah.

Kedua: Mengadaplah ke hadrat Allah dengan mengerjakan segala amalan fardhu atau sunat sama ada solat, puasa, zakat, puasa, haji, tilawah Al-Quran, zikir, dan selawat kepada Rasul tanpa berlebihan. Laksanakan bacaan zikir-zikir yang penting tanpa menyebabkan terganggu pelaksanaan tanggungjawab duniawi.

Ketiga: Berusahalah setakat yang terdaya dan menurut masa lapang dengan cara menyebut zikir yang meraih kemesraan Allah. Iaitu:

"استغفرالله , سبحان الله , والحمدلله, الله اكبر, لا اله الا الله, اللهم صل على محمد وآله وسلم, لا حول ولا قوة الا باالله, يا حي يا قيوم يا ذا الجلا ل والاكرام برحمتك أستغيث, سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم"

ٍSaya harap belum selesai anda mewiridkannya hati anda menjadi lapang dan ceria. Saya harap anda kekal bergaul dengan orang ramai dan berdakwah dalam keadaan sentiasa berzikir. Di samping itu jangan lupa sembahyang sunat I’tikaf, wirid harian dan membaca Al-Quran.

Keempat: Sediakan masa tertentu untuk membaca bahan-bahan yang berguna secara terencana setiap hari. Jangan lupa membaca bingkisan tulisan kami"عقد القرن " dan

بعيدا عن احتياجات العصر كى لا نمضي

Kelima: Setelah anda berwirid seperti di atas, maka tambahkahlah dengan wirid harian yang biasa. Selitkan wirid-wirid ma’thurat dan wirid yang anda sukai. Jangan lupa membaca al-Quran, dan istighfar harian 100 kali, selawat 100 kali, mengulang-ulang kalimah tauhid:

Tak kurangلا اله الا الله وحده لاشريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شىء قدير dari 100 kali, سبحان الله وبحمده 100 kali, dan surah Ikhlas 3 kali.

Keenam: Bacalah risalah al-Ma’thurat oleh al-Syahid Hasan al-Banna. Amalkan Ma’thurat al-Sughra setakat yang mampu.

Ketujuh: Kenal dan carilah “mursyid” yang sempurna dan jangan tergesa-gesa. Nilailah status dan kedudukan beliau dan muridnya dengan neraca ilmu.Berdasarkan penilaian itu bertindaklah sama ada untuk mengikutinya atau sebaliknya. Seandainya ia tidak sesuai untuk diikuti maka layanilah beliau dengan sopan santun. Tapi seandainya anda ingin berguru dengannya secara mengambil berkatnya sahaja; sedangkan beliau tidak memenuhi syarat seorang mursyid yang sempurna maka perbanyakkanlah selawat untuk Rasulullah s.a.w..

Kelapan: Di mana dan siapa jua yang anda boleh mendapat kebaikan daripadanya dan terhindar daripada musibah maka bergaullah dengannya berdasarkan kaedah Sunnah Rasulullah:

"خذ ما تعرف ودع ما تنكر واقبل على خاصتك ودعهم وعوا مهم"

Kesembilan Di mana saja anda berkesempatan adakanlah majlis ilmu dan majlis zikir. Di mana sahaja anda boleh berdakwah kepada kebenaran, laksanakanlah. Jadikanlah diri anda pembimbing atau pembantu orang lain.

Kesepuluh: Bertuturlah kepada ulama dengan cara yang beradab. Bercakaplah dengan pihak yang berkuasa dengan cara penuh hormat. Jangan berkomunikasi dengan mereka kecuali kalau itu sudah kemestian menurut ilmu. Kadang-kala ada orang yang berkonfrontasi dengan ulama, penguasa dan pemerintah tanpa mengikut tatacara yang digariskan oleh syara’.Ini tentu merugikan. Tapi dalam waktu yang

sama jangan pula bakhil untuk mengirimkan nasihat bertulis secara sulit kepada mana-mana makhluk Allah yang memerlukannya.

Kesebelas: Jangan bertindak melakukan apa-apa tugas umum atau khusus melainkan setelah anda mengetahui hukum Allah SWT mengenainya.

Saudara dan Saudari sekalian,

Meskipun antara yang disarankan oleh Syaikh Said Hawwa adalah membaca doa ma’thurat wazifah sughra namun barangkali lebih baik bagi para ulama’,golongan cendiakawan Islam serta murabbi alaf baru ini mengamalkan wirid wazifah kubra memandangkan cabaran dan halangan yang kita hadapi hari ini jauh lebih besar dan hebat . Oleh itu marilah kita amalkan bersama wirid-wirid tersebut dan wirid atau Doa Rabitah agar dapat kita atasi cabaran tersebut dan mudah-mudahan ikatan mahabbah sesama kita semakin kuat dan erat dari semasa ke semasa.

Saya yakin dengan mengamalkan wirid Qur’ani, wirid Ma’thurat dan Doa Rabitah ini, jiwa, akal dan jasad kita akan beroleh berkat dan rahmat. Ikatan ukhuwah semakin teguh dan kuat. Sesungguhnya para Naqib dan Du’ah memerlukan curahan rahmat dari Allah untuk sekujur tubuh jasmani dan rohani mereka. Sebab mereka selalu dirundung malang,derita dan penganiayaan orang. Semoga Allah menguatkan mereka. Allah mengangkat darjat siapa yang mahu, Allah merendahkan darjat siapa yang ia mahu.

Akhir kata saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap petugas dan sukarelawan SPPUM, para pembentang kertas kerja, pihak Darul Hikmah dan setiap hamba Allah yang telah bersusah payah menjayakan Madrasah Ulama III ini. Semoga amalan mereka di terima Allah dan semoga kita dapat mengambil manfaat dari ilmu dan hikmah kebijkasanaan mereka.

“Ya Allah dengan nama dan ayat-ayat Mu kami rasmikan Madrasah Ulama Kali Ketiga ini. Ya Allah, tinggikanlah darjat kami di sisi Mu, masukkanlah kami dalam golongan para hamba Mu yang soleh dan berbuat baik.Ya Allah seandainya jasad kami nanti telah luluh di pusara dan roh-roh kami telah kembali ke Rahmat Mu maka maafkanlah kesalahan kami, ampunkanlah segala dosa kami, kasihanilah kami dan masukkanlah kami di dalam syurga Mu, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.



1 Hawwa, Syeikh Mohd Said, Muzakarah Fi Manazil al-Siddiqin Wa-al-Rabbaniyin, Dar al-Salam Li al-Tibaah, Kaherah 1987, hal 3-4.


posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 8:40 PM   0 comments
asas-asas penting pembentukkan ummah islamiyah
Sunday, July 23, 2006

Pendahuluan

Setelah kejatuhan Daulah Islamiyyah dan kehilangan Khilafah Islamiyyah, musuh-musuh Islam menakluki negeri-negeri umat Islam dengan berbagai-bagai cara penaklukan yang memusnahkan. Penaklukan meliputi aspek kebudayaan, kepercayaan mulhid, ibahi (permissive) dan ekonomi. Realiti ini telah meletakkan ‘Amal Islami dalam keadaan yang buruk sekali. Umat Islam dikerumuni oleh bangsa-bangsa lain seperti semut-semut mengerumuni hidangan makanan. Keadaan umat Islam telah hampir menyamai keadaan masyarakat sebelum da’wah pertama dahulu. Islam telah kembali dagang (asing) sebagaimana ia telah bermula dalam keadaan dagang. Tepatlah sepertimana sabda Rasulullah SAW:

“Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam di waktu ia dagang.” - Hadith Riwayat Muslim.

Kewajipan Membentuk Ummah

Beramal untuk Islam dalam rangka menwujudkan individu, keluarga, jama’ah dan ummah Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang syar’i. Kewajipan ini tidak akan gugur selagimana tidak tertegak suatu kuasa yang memikul tanggungjawab menjaga semua urusan umat Islam. Begitu juga, selagimana kekuasaan itu tidak wujud, maka segala kecuaian samada oleh mereka yang beramal atau oleh mereka yang berdiam diri adalah merupakan dosa. Dosa ini tidak akan terhapus sehinggalah orang-orang yang cuai itu mengambil inisiatif secepat mungkin untuk memikul tanggungjawab dan taklif amal-amal Islami.

Ditinjau dari sudut hukum, bekerja dan beramal untuk Islam adalah wajib. Realiti pembekuan hukum-hukum Allah di muka bumi dan penguasaan sistem serta undang-undang jahiliyyah ke atas masyarakat manusia telah mewajibkan umat Islam bekerja dan beramal untuk menegakkan Ummah Islamiyyah dan mengembalikan kehidupan secara Islam. Umat Islam juga berkewajipan mengembalikan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah SWT daLam semua hal.

Oleh kerana mewujudkan Ummah Islamiyyah dan berhukum dengan hukum-hukum Allah SWT itu wajib, segala amal atau kerja yang menjurus kepada perlaksanaan kewajipan-kewahipan itu juga wajib, berdasarkan qaedah syara’:

“Tidak sempurna sesuatu kewajipan melainkan dengan jalannya, maka jalan itu juga menjadi wajib.”

Model Pembentukan Ummah

Orang mukmin mempunyai model yang tidak boleh dipertikaikan lagi dalam kerja-kerja pembentukan masyarakat dan pembinaan ummah. Model ini telah dizahirkan oleh Allah SWT pada generasi awal pimpinan Rasulullah SAW atau lebih dikenali sebagai Generasi al-Quran.

Kita perlu melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memulakan dakwah dengan menyemai ‘Aqidah Tauhid dalam jiwa pengikut-pengikutnya. Rasulullah SAW mendidik mereka di Dar al-Arqam dengan santapan dan hidangan al-Quran. Dari Madrasah Rasulullah SAW ini, lahirlah Rijal ‘Aqidah yang sanggup berjihad dan berkorban demi membina Ummah Islamiyyah.

Rasulullah SAW telah membangunkan Ummah Islamiyyah pertama di atas asas-asas ‘Aqidah Solehah, ‘Ibadah Sohehah dan akhlak yang teguh.

‘Aqidah Melahirkan Wehdah Dan Segala Kekuatan Yang Lain

Setelah terbina kekuatan ‘Aqidah Tauhid maka terbentuklah kekuatan Ukhuwwah dan Wehdah (kesatuan). Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dengan ikatan Ukhuwwah Islamiyyah. Setelah itu Rasulullah SAW mencari punca-punca kekuatan yang lazim dan perlu bagi melancarkan jihad selanjutnya. Dengan itu terbentuklah asas yang kukuh atau tapak yang kuat untuk berdirinya Daulah Islamiyyah di Madinah al-Munawwarah.

Inilah model yang sepatutnya menjadi contoh utama orang-orang mukmin dalam usaha membentuk Ummah Islamiyyah. Firman Allah SWT:

“Adalah bagi diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi mereka yang mengharapkan Allah serta Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.” - Surah Al Ahzab: ayat 21

Perlunya Kepada Jalan Yang Sama

Tiada jalan lain lagi melainkan jalan ‘Aqidah atau Iman untuk membina kembali Ummah Islamiyyah. Jika di permulaan Islam dahulu Iman telah menjadi tenaga pembangunannya, Iman juga mesti menjadi tenaga pembangun di zaman kebelakangan ini.

Kita kini sedang menghadapi suasana-suasana yang sama seperti yang dihadapi oleh angkatan pertama umat Islam di permulaan lahirnya Islam. Jika ditinjau suasana alam ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, didapati masyarakat manusia dalam keadaan tidak tenteram dan menghadapi krisis nilai ke paras maksimum. Manusia sesat dalam pemujaan dan pengabdian. Sesat dalam aqidah dan pemikiran. Mereka juga ragu-ragu terhadap kebenaran dan yakin pula terhadap kebatilan. Nilai mereka sesat. Mereka senang kepada kejahatan dan kuncu-kuncunya serta benci kepada kebaikan dan pendokong-pendokongnya. Praktik hidup mereka sesat. Penzalim menjadi pemerintah. Penjahat hidup senang dan mewah. Orang-orang yang soleh tersisih dari masyarakat. Perkara yang ma’ruf dipandang munkar dan yang munkar dipandang ma’ruf. Ketagihan arak telah menjadi kebiasaan. Kejahatan bermaharajalela. Amalan riba telah sampai ke peringkat merampas harta orang lain. Keinginan kepada harta benda telah sampai ke peringkat tamak haloba. Kezaliman dan keras hati telah menjangkau kepada perbuatan menanam anak hidup-hidup.

Asas-asas moral anugerah Allah SWT kepada manusia ketika itu tidak dibimbing dengan betul. Akibatnya kecelakaan menimpa mereka. Orang berani bertukar menjadi pembinasa dan pengganas. Orang pemurah bertukar menjadi pemboros dan pengikis harta. Orang cerdik bertukar menjadi penipu. ‘Aqal fikiran digunakan untuk merancang jenayah dan program-program untuk memuaskan hawa nafsu. Kekuasaan yang ada pada seseorang umpama sebilah pedang di tangan pemabuk. Dia akan melukakan diri, anak, isteri dan saudara-maranya tanpa disedari.

Ciri-ciri seumpama di atas bukan sahaja wujud di zaman jahiliyyah kuno, bahkan wujud juga di zaman moden ini. Oleh kerana ciri-ciri itu wujud di zaman ini, maka zaman ini juga disifatkan sebagai jahiliyyah atau Jahiliyyah Moden.

Rasulullah SAW telah merawat segala penyakit kemasyarakatan tadi dengan iman. Justeru itu ubat atau penawar iman juga perlu digunakan untuk merawat segala penyakit kemasyarakatan di zaman ini. Sekaligus, iman menjadi titik tolak ke arah pembentukan Ummah Islamiyyah.

Proses Keimanan

Ummah Islamiyyah tidak akan lahir selagimana satu golongan manusia tidak dibentuk terlebih dahulu melalui proses keimanan yang mengikrarkan ‘Ubudiyyah hanya kepada Allah SWT semata-mata. ‘Ubudiyyah yang meliputi I’tiqad dan benar-benar berperanan dalam susunan dan amalan hidup mereka. Proses keimanan itu akan membersihkan hati serta jiwa daripada pengabdian kepada selain daripada Allah SWT. Proses itu juga mengawal setiap amalan daripada bermatlamatkan sesuatu yang lain daripada Allah SWT. Melalui proses ini sahajalah Ummah Islamiyyah terbentuk atau dibentuk. Ummah Islamiyyah dianggotai oleh mereka yang menjalani sistem pembentukan yang bertolak daripada Kalimah Tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota, iaitu kalimah Syahadah hendaklah ditegakkan terlebih dahulu dan menjadi asas bagi sistem hidup Islam yang lengkap dan praktikal. Kehidupan Islam bagi Ummah Islamiyyah dalam semua bidang dibina di atasnya dan dikawal olehnya. Kehidupan Islam tidak akan wujud tanpa asas ini, atau ditegakkan di atas asas yang lain, atau ditegakkan bersama asas lain.

Kumpulan yang sudah bersih hati dan jiwa dalam ‘Ubudiyyah inilah sahaja yang dapat membentuk dan membangunkan Ummah Islamiyyah yang diredhai oleh Allah SWT.

Begitulah caranya kumpulan Islam pertama dibina dan berjaya membentuk Ummah Islamiyyah. Mereka adalah Ummah contoh yang dikenali sebagai Generasi Al-Quran Yang Unik. Begitulah juga caranya proses pembentukan masyarakat atau Ummah Islamiyyah yang kemudian.

Pentingnya Pengukuhan Asas

Sesungguhnya asas yang kukuh amat perlu untuk melahirkan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Ia laksana asas bagi binaan yang besar. Binaan yang terbesar ialah binaan Islam.

Memanglah sesuatu asas bagi binaan tidak akan kelihatan dengan jelas dan nyata di atas tanah yang rata serta-merta, meskipun telah banyak usaha dan titik peluh dicurahkan untuk menanam dan membenamkannya. Orang-orang yang tidak arif atau orang-orang yang mengharapkan natijah segera akan menganggap bahawa segala usaha dan waktu yang dihabiskan untuk menanam asas adalah sia-sia lantaran mereka tidak nampak kewujudan binaan yang tersergam di atas tanah yang rata itu. Sesungguhnya, tahap atau peringkat meletakkan asas adalah paling sukar dan penting dalam proses pembinaan bangunan.

Setiap waktu dan usaha yang dicurahkan untuk membina asas sesebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia. Proses pembinaannya tidak boleh dihentikan dengan alasan belum nampak apa-apa hasil di permukaan tanah. Sudah tentulah bangunan Islam yang besar memerlukan waktu yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asasnya.

Tahap-Tahap

Pembentukan masyarakat dan Ummah Islamiyyah memerlukan masa yang panjang, usaha yang berterusan, pencurahan tenaga yang besar dan kesediaan melalui tahap-tahap tertentu seperti yang diperlihatkan dalam Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda RA.

Tahap-tahap yang berdasarkan Sirah Rasulullah SAW adalah seperti berikut:

1. Tahap pembangunan ‘Aqidah yang melahirkan kefahaman yang betul tentang hakikat alam, manusia dan kehidupan. Inilah tahap asasi, pertama dan utama dalam pembentukan syaksiyyah Islamiyyah. Ia kaedah asas yang akan memperbetulkan tindakan-tindakan berikutnya.

2. Tahap perlaksanaan Iman dalam realiti hidup Muslim sepertimana yang pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

“Iman bukanlah dengan angan-angan dan hiasan-hiasan, tetapi ia adalah apa yang bertakhta di dalam hati dan dibukti pula dengan amalan.”

Inilah tahap penghayatan Iman dalam tingkah laku dan aktiviti hidup supaya benar-benar lahir kehidupan Islam.

3. Mereka yang kukuh ‘aqidah, betul fahaman dan baik amalan menyedari bahawa di sana terdapat tanggungjawab yang wajib dilaksanakan iaitu ‘Amal Haraki untuk membentuk, menerus dan mempertahankan Ummah dan Daulah Islamiyyah. Kerja-kerja besar ini tidak mampu dipikul dengan tenaga seorang, bahkan memerlukan penglibatan dalam Tanzim Haraki secara bersungguh-sungguh. Setiap mukmin bangun memperbaiki ahli-ahli, kawan-kawan dan mereka yang dapat dihubunginya. Kebaikan seseorang tidak akan menggugurkannya daripada tugas mengislahkan orang lain. Dia wajib bangun memikul tanggungjawab Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar meskipun keseorangan.

posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 8:08 AM   0 comments
:: mY LiFe ::





:: Nama::
Mohd Nazri Bin Amir Hamezah
:: Pengajian ::
Graduan Kuliah Usuluddin Syukbah Tafsir University Al Azhar Mansurah,Egypt :: Dilahirkan ::
Pada 4 ramadhan 1400 Dihospital Kota Bharu
:: Cita-cita::
Mati Dalam Mempertahankan Hak-hak Islam
:: MaKhzAn ::
:: ArTiKeL ::
:: WeBsItE ::
:: BiLanGaN MaSUk ::
Wahai kawanku, Segeralah tunaikan solat di awal waktu Dikala mendengar azan Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan Di situ ada sumber pertolongan Di situ ada sumber taufiq Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran. ... dimulakan dengan menyebut solat di awalnya Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat... Juga di medan perang. Walaupun... Di saat genting dan cemas.

:: aL AzHar UniVersItY ::
:: RuJukAn ::
:: Haribulan ::


:: CerIa ::