:: PeNenang JiWa :: |
|
:: BoIkOt :: |
|
:: TaQwIn :: |
|
:: MaSa ItU EmAs :: |
|
:: LiNk :: |
|
:: SoKonGan :: |
|
|
:: IkAtAn kAsih :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: Ip DeTecT :: |
| |
Jihad Teras Kecemerlangan Ummah |
Sunday, April 02, 2006 |
0.1 MUQADDIMAH
Perjuangan Ar-Rasul dan para sahabat dipenuhi dengan jihad dari melawan nafsu, berdakwah dan sebagainya termasuklah qital (berperang). Semua itu telah dilakukan dengan penuh semangat dedikasi dan bersungguh-sungguh. Lantaran itu, sejarah Islam telah memaparkan buat tatapan kita pada hari ini, betapa mulia dan gagah serta bersemangatnya mereka memperjuangkan Islam, malahan bukan sekadar Semenanjung Arab sahaja yang tunduk kepada kekuasaan Islam, bahkan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi turut tersungkur di bawah kekuasaannya. Keberanian dan keunggulan mereka di medan jihad menjadi sebutan orang pada ketika itu. Kehandalan Saidina Umar r.a, keberanian Khalid Al-Walid dan ramai lagi telah menggegarkan dunia.
Semangat jihad yang ditunjukkan oleh mereka itu kemudiannya diwarisi oleh para mujahid Islam seperti Imam Ahmad Ibn Hanbal, Sallehuddin Al-Ayyubi, Ibn Taimiyyah dan lain-lain lagi. Di dalam abad ke-20 an ini, terdapat pula mujahid seperti Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan Sayed Abu A'la Maududi. Mereka menentang kezaliman dan penindasan yang cuba menghancurkan dan menghapuskan umat Islam.
Melihat dari kejayaan yang telah dipaparkan di dalam sejarah, perasaan benci dan dengki dari musuh Islam memuncak dan sering bersemadi di dalam jiwa mereka. Rentetan daripada itu, timbullah berbagai cemuhan dan telahan terhadap perjuangan untuk mengembalikan Islam. Fanatik, Ekstrimis, Irhabi, dakwah songsang, menyeleweng dan berbagai lagi perkataan telah digunakan untuk melemahkan semangat perjuangan. Kebenaran perjuangan Islam diputar-belitkan supaya masyarakat kabur dan tidak lagi memahami keadaan yang sebenar. Dalam hal ini, terdapat sesetengah ulama' yang memainkan peranan yang agak hebat juga untuk menjayakan perancangan musuh Islam. Akibatnya, semangat dan ruh jihad itu luntur dan sikap acuh tak acuh bertunas di dalam hati umat Islam serta mengongkongnya.
Setelah begitu lama kita dibawa oleh lamunan pemikiran musuh-musuh Islam, kini tibalah masanya untuk kita memahami dan benar-benar menghayati jihad dari kaca mata Islam itu sendiri.
0.2 TAARIF JIHAD
Jihad dari segi bahasa ialah : " Bersungguh-sungguh dan mencurahkan sepenuh kemampuan dan tenaga, samada dengan perkataan atau perbuatan ".
Dari segi syara' ialah : " Seorang muslim mencurahkan sepenuh tenaga dan kesungguhan dalam usaha untuk memenangkan Islam, bagi mendapat keredhaan Allah ". Oleh sebab itulah dirungkaikan kalimah jihad dalam Islam dengan fi sabilillah yang bertujuan untuk men thabit kan bahawa jihad yang dimaksukan adalah jihad syar’ie.
Firman Allah s.w.t dalam menjelaskan perkara ini adalah seperti berikut :
[1]الذين آمنوا يقاتلون في سبيل الله والذين كفروا يقاتلون في سبيل الطاغوت...
Maksudnya : " Orang-orang yang beriman berperang pada jalan Allah dan orang-orang kafir berperang pada jalan toghut ... ".
Dari taarif ini, lahirlah takrif-takrif golongan salaf berkenaan dengan jihad antaranya :
Ibn Abbas r.a berkata : " Jihad ialah mencurahkan sepenuh tenaga pada jalan Allah dan tidak takut pada celaan orang yang mencela ".
Ibn Muqatil berkata makna jihad adalah : " Beramal kepada Allah dengan sebenar-benar amalan dan menyembah Allah dengan sebenar-benar sembahan ".
Ibn Mubarak berkata : " Iaitu mujahadah nafsu dan hawa ".
Dr. Said Ramadhan Al-Buti berkata : "Jihad ialah mencurahkan tenaga pada jalan meninggikan kalimah Allah dan menegakkan masyarakat Islam. Memberikan tenaga melalui peperangan adalah sebahagian darinya. Adapun tujuan pula adalah menegakkan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar ".
Dari pentakrifan di atas, jelas bahawa jihad itu sendiri mempunyai makna khas dan makna am. Adapun maknanya yang khas ialah : " Berperang pada jalan Allah " dan maknanya yang am ialah : " Kehidupan kita dari awal hingga akhirnya merupakan jihad ". Ia mempunyai marhalah dan pusingan yang tertentu. Setiap marhalah jihad menyediakan seseorang untuk naik ke marhalah yang lebih tinggi.
Imam Ibn Qayyim ketika memperkatakan tentang marhalah-marhalah ini memulakan susunan jihad dengan jihad melawan nafsu untuk mempelajari kebenaran, kemudian jihad untuk beramal dengan apa yang telah diketahui, kemudian jihad bersabar di atas bebanan amal tersebut. Semua ini dikira sebagai jihad. Mana-mana kekurangan pada marhalah-marhalah ini atau kegopohan, kadang-kadang tidak membawa kepada amal yang dituntut.
As-Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya Jundullah telah membahagikan jihad kepada 5 jenis :
Pertama : Jihad dengan lisan Kedua : Jihad dengan pengajaran ( ta'limi ) Ketiga : Jihad dengan tangan dan jiwa-raga Keempat : Jihad politik Kelima : Jihad harta.
Dasar kewajipan bagi kelima-lima jihad ini adalah seperti berikut :
1) Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya : " Berjihadlah menentang orang musyrikin dengan harta, diri dan lidah kamu ".
Hadith ini menyebut ketiga-tiga jenis jihad di atas sekaligus.
2) Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya : " Sebaik-baik jihad ialah memperkatakan sesuatu yang benar di hadapan raja yang zalim ".
Jihad yang disebut di dalam hadith ini ialah jihad politik, kerana ia bertujuan untuk menjadikan sistem pemerintahan yang terbaik dan paling adil.
3) Firman Allah s.w.t : [2]فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم اذا رجعتم لعلهم يحذرون Ayat ini mengungkap kalimah nafar kepada menuntut ilmu dan mengajarnya. Sedangkan kalimah ini pada kebiasaannya digunakan untuk jihad. Jadi, ketiga-tiga nas ini adalah menyatakan 5 jenis jihad yang disebutkan.
Dalam pembahagian jenis-jenis jihad ini, Al-Imam Hassan Al-Banna ada menyebut : " Jihad yang saya maksudkan di sini ialah : Satu kewajipan yang berterusan hingga ke hari kiamat, seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : من مات ولم يفز ولم ينو الغزو مات ميتة جاهلية " Sesiapa yang mati sedang beliau tidak pernah berperang ( berjihad ) dan tidak pernah berniat untuk berperang, maka beliau mati sebagai mati seorang jahiliah"
Peringkat jihad yang pertama ialah mengingkari dengan hati, dan peringkat jihad yang paling tinggi ialah berperang di jalan Allah. Di antara kedua-dua peringkat jihad itu terdapat jihad lisan, jihad tulisan, tangan dan menyatakan yang hak kepada pemerintah yang zalim ...... ".
3.0 HUKUM BERJIHAD PADA JALAN ALLAH
Islamnya seorang muslim tidak hanya terhenti kepada ia menyembah Allah dengan bersolat atau berpuasa, berdoa, bertasbih di waktu pagi dan petang dan sebagainya. Bahkan, masih tidak dikira cukup dengan hanya ia mengeluarkan sebahagian daripada hartanya sebagai zakat kepada faqir miskin. Ia sememangnya tidak mencukupi sebagaimana di atas muka bumi ini terdapat kebatilan dan kefasadan yang menguasai kebenaran. Jihad adalah menjadi fardhu ain untuk melawan kebatilan. Ini jelas berdasarkan kepada arahan Allah Taala di dalam Al-Qur'an yang meletakkan taraf jihad sama dengan solat, puasa dan zakat.
Ia juga menjadi fardhu ain untuk mempertahankan Islam atau untuk mengembalikan yang telah hilang dari negara Islam. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya terdapat sesetengan ulama' meletakkan jihad di tempat yang ke-6 daripada rukun Islam yang lima. Akan tetapi jihad menjadi fardhu Kifayah jika sekiranya telah ada negara dan berlakunya pembukaan negara baru. Dengan erti kata lain, keluar berjihad untuk menyebar-luaskan empayar Islam.
4.0 HARAKAH DAN MENEGAKKAN KALIMAH ALLAH
Seterusnya adalah penting untuk kita mengetahui kedudukan harakah dan cara yang sewajarnya untuk menegakkan kalimah Allah. Seperti yang diketahui, risalah Islam bersifat alamiah dan menuntut kebebasan manusia dari diperhambakan oleh manusia yang lain. Jelaslah bahawa segala perhambaan mestilah dikembalikan kepada Allah. Tidak ada lain yang layak disembah melainkan Dia.
Untuk mewujudkan pemerintahan Allah di muka bumi ini, tidak mungkin dilakukan setakat memanggil atau mengundang manusia kepada Islam. Deklarasi untuk membebaskan manusia dari memperhambakan diri kepada sesuatu selain Allah amatlah praktikal untuk dilaksanakan. Walaubagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan melainkan melalui dakwah dan harakah (gerakan). Keadaan yang ada di dalam masyarakat baik dari segi kepercayaan, konsep dan cara hidup sudah corrupt dan sekarang ini sudah jauh sekali dari landasan Islam. Kini, semua ini telah sebati dan bersemadi di jiwa masyarakat. Inilah yang perlu dikikis habis-habisan terlebih dahulu sebelum pemerintahan Allah dapat diwujudkan. Melalui dakwahlah semua konsep dan idea dihujah dan ditentang, sementara melalui harakah pula segala tentangan material dan fizikal diselesaikan. Pada keseluruhannya, pemerintahan yang dicipta oleh manusia mesti dihapuskan melalui dakwah dan harakah untuk mewujudkan pemerintahan Allah.
5.0 KENAPA JIHAD FI SABILILLAH
Di dalam kitab suci Al-Qur'an, Allah telah membentangkan apakah tujuan jihad. Antara lain ialah : a) Untuk mewujudkan keagungan Allah di dunia. b) Mengatur hal-ehwal manusia mengikut petunjuk dari Allah c) Menghapuskan semua kuasa-kuasa syaitan d) Menghapuskan penindasan manusia oleh manusia lain.
Untuk mencapai tujuan ini, tidak hairanlah jika muncul bermacam-macam batu penghalang. Hendaklah juga difahamkan bahawa Islam bukan hanya satu agama yang semata-mata mengandungi amal ibadat spiritul, bahkan ia adalah sistem hidup yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia, dan mampu menghapuskan segala bentuk kezaliman dan kemungkaran yang selalunya ditimbulkan oleh sistem buatan manusia. Dengan itu sewajarnyalah semua rencana dan program sistemnya dilaksanakan, kerana itulah yang paling mulia dan unggul untuk seluruh manusia.
Ada satu lagi panggilan yang menyeru kepada jihad fi sabilillah. Sifat risalah Islam yang universal itu tidak pernah membezakan kaum, kumpulan atau kelompok manusia. Dengan tertumbuh sebuah masyarakat Islam, tidak bermakna terhentinya jihad, malah Islam mengambil daya-usaha untuk membebaskan manusia keseluruhannya dari cengkaman manusia lain. Dengan itu, walaupun negara jirannya tidak mengganggu negara Islam, tetapi jika mereka masih meneruskan sistem yang memperhambakan manusia, adalah wajib bagi negara Islam menentang pemerintahan negara tersebut sehingga mereka menerima Islam atau membayar jizyah.
6.0 KEMULIAAN JIHAD
Kemuliaan jihad ringkasnya, adalah satu-satunya perniagaan yang tetap menguntungkan dan berlipat kali ganda. Ia adalah satu penghargaan yang tinggi di sisi Allah.
Di antara ayat Al-Qur'an yang menjelaskan kemuliaan ini ialah : a) Surah As -Soff : Ayat 10 - 11 b) Surah At-Taubah : Ayat 111 c) Surah Ali Imran : Ayat 157 d) Surah Ali Imran : Ayat 168 - 170
7.0 AKIBAT JIHAD DIABAIKAN Meninggalkan jihad menyebabkan kehinaan. Allah berfirman dalam Surah At-Taubah yang berbunyi : [3]الا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ...
Maksudnya : " Jika kamu tidak berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan azab yang pedih dan ditukarnya ( kamu ) dengan kaum yang lain ... "
Ibnul Arabi berkata tentang ayat ini, bahawa ayat tersebut merupakan ancaman yang keras bagi orang-orang yang tidak mahu berangkat untuk berperang dengan orang-orang kafir agar agama Allah lebih tinggi. Adapun jenis-jenis azab siksa menurut Ibn Arabi ; Di dalam dunia ini dengan dikuasai oleh musuh dan di akhirat nanti dengan azab neraka.
Kenyataan sejarah pada masa lampau mahupun sekarang ini cukup memperkuatkan apa yang dikatakan oleh Ibnul Arabi tentang apa yang menimpa kaum muslimin sehingga mereka dihina dan dijajah oleh orang kafir, kerana mereka meninggalkan jihad.
8.0 KEKELIRUAN TENTANG JIHAD
Kekeliruan yang sering muncul adalah berkenaan dengan jihad melawan nafsu itu lebih utama daripada jihad qital. ada orang mengatakan bahawa ini adalah satu hadith. Sebenarnya, kata-kata ini bukannya hadith disebabkan sanadnya yang lemah dan tidak dapat diterima sebagai hadith. sekiranya ia diterima sebagai hadith sekalipun tidaklah ia perlu diperbesar-besarkan kepentingannya kalau hendak dibandingkan dengan kedudukan jihad qital.
Antara kekeliruan lain mengenai jihad ialah pihak musuh Allah sering mengatakan bahawa Islam tersebar dengan mata pedang dan ia adalah syariat permusuhan. Seterusnya mereka menggambarkan lakaran mujahidin dalam bentuk yang menggerunkan, manusia ganas, pembunuh, perampas harta dan lain-lain lagi.
Cromer, salah seorang mubaligh Kristian, penjajah dan benci kepada Islam berkata : " Jihad adalah fikrah permusuhan semata-mata. Islam telah memberinya bentuk syara', supaya orang muslim mempertahankan dirinya dari serangan orang bukan Islam ..... ia adalah fikrah khianat dan menggalakkan permusuhan ".
Mereka yang menentang jihad, walaupun ramai jumlahnya, namun tidak seorang pun yang berani menyebut kepada kita mana-mana peristiwa dalam sejarah yang membuktikan dakwaan mereka. Sebenarnya, sejarah telah membuktikan bahawa sehingga ke hari ini, umat Islam di segenap penjuru menjadi mangsa pengkhianatan dan penindasan.
9.0 PENUTUP
Sesungguhnya dunia Islam hari ini jauh dari perlaksanaan hukum Allah. Umatnya dikoyak-rabikkan oleh musuh. Daulah yang dulunya wujud telah dihilangkan. Segala kemewahan dan hasil-mahsul bumi Islam dirampas oleh Yahudi Kuffar durjana. Adakah kita masih ragu-ragu bahawa jihad merupakan fardhu ain ke atas setiap bahu kita ??? Tanyalah diri kita, adakah jalan lain selain jihad untuk menghilangkan kejahatan ini ? Bukankah kita tergolong di dalam zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith.
Sementara kita belum terlajak dan tidak dapat kembali lagi ke dunia ini, sama-samalah kita melaksanakan jihad fi sabilillah agar apabila telah sampai di alam yang kekal, mudah-mudahan insya Allah kita tidak menyesal seribu sesalan yang tidak berguna lagi.
Oleh itu wajiblah ke atas kita sentiasa menanamkan di dalam hati dan amalan kita slogan " JIHAD ADALAH JALAN KAMI " untuk memastikan Islam kembali gemilang. [1] Surah An-Nisa’ : 70 [2] Surah Al-Baqarah : 122 [3] Surah At-Taubah : 39 |
posted by Mohd Nazri Amir Hamezah @ 3:27 PM |
|
|
|
:: mY LiFe :: |
|
:: MaKhzAn :: |
|
:: ArTiKeL :: |
|
:: WeBsItE :: |
|
:: BiLanGaN MaSUk :: |
|
:: aL AzHar UniVersItY :: |
|
:: RuJukAn :: |
|
:: Haribulan :: |
|
:: CerIa :: |
| |