'Tak dak sebab demo nak lawe kawe' akan sentiasa diingati sebagai antara ungkapan paling berbisa yang pernah diutarakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ia sekaligus menjadi cabaran dan amaran kepada musuh-musuh politik kerajaan pimpinannya. Suatu ketika dulu bait itu seakan dijadikan tagline kepada segala program penerangan dan penerbitan PAS Kelantan. Pendirian tegas Mursyidul Am PAS itu malah turut dijadikan inspirasi dan pendorong oleh ahli dan pendokong parti itu di seluruh negara. Bertitik-tolak daripada hujah dan penghuraian diberikan Tok Guru dan para pemimpin PAS Kelantan ketika itu, para penceramah dan tenaga penerangan PAS di seluruh negara merasionalkan hujah mereka terhadap parti lawan dalam konteks negeri masing-masing pula. Hujah dan huraian di atas ungkapan tadi sangat kukuh dan meyakinkan. Ia berkisar di atas segala bentuk perubahan dan pembaharuan diperkenalkan kerajaan Kelantan sejak diambilalih oleh Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bermula 1990 lalu. Sudah barang tentu segala perubahan itu dibuat agar selari dan menepati kehendak Islam. Apabila sesuatu telah diubah kepada yang menepati Islam, ia telah membuktikan sekurang-kurangnya dua perkara. Pertama, bahawa perkara yang diubah itu diwarisi dalam bentuk atau keadaan asalnya yang tidak menepati kehendak Islam. Kedua, apabila ia telah diubah untuk bertepatan dengan Islam, maka di mana lagi kewajaran dan kewarasan untuk mana-mana pihak yang beragama Islam menentang dan melawannya? 'Tak dak sebab demo (BN) nak lawe kawe', sebab 'kawe' (PAS) telah melaksanakan perubahan dan pembaharuan menurut apa yang dikehendaki agama. PAS telah membangunkan Kelantan menurut Islam setelah pemerintahan Barisan Nasional selama 12 tahun gagal melaksanakannya. Selain perubahan dan pembaharuan itu dilaksanakan menurut tuntutan Islam, ada juga antara perubahan diperkenalkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS itu kemudiannya menjadi ikutan dan tiruan kerajaan negeri-negeri lain dipimpin BN. Hakikat itu lebih menguatkan lagi hujah Tok Guru mengapa 'tak dak sebab demo nak lawe kawe', sedangkan apa yang 'kawe' buat 'demo' tiru. Analogi simplistik Najib kepada rakyat Kelantan Dalam keadaan yang ada kini, barangkali ada perlunya beberapa perubahan yang dimaksudkan itu diulangsebut kembali. Mudah-mudahan ia mampu mengingatkan kembali para pemimpin BN Kelantan agar jangan terlalu ghairah menentang kerajaan yang ada sehingga mengenepikan segala kebaikan yang telah dilaksanakan itu. Keghairahan BN itu jelas tergambar menerusi keyakinan palsu yang cuba ditanam Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak minggu lalu. Dalam kunjungannya ke Kelantan pada 3 dan 4 Januari lalu, beliau dilaporkan menyeru rakyat negeri itu menjadikan tahun 2008 sebagai tahun terakhir PAS memerintah Kelantan. Sifir politik dikemukakan Najib sangat simplistik. Kononnya oleh kerana tahun ini akan genap 18 tahun usia kerajaan PAS Kelantan, maka Najib menganggap ia suatu pengulangan sejarah jika ia tumbang sebagaimana kerajaan PAS dahulu juga tumbang selepas berusia 18 tahun. "Jadi tahun ini, rakyat Kelantan mesti berani dan bersedia untuk menjadikan tahun 2008 sebagai tahun menukar kerajaan negeri," katanya, cuba meyakinkan para penyokongnya. Najib malah menegaskan perubahan kerajaan amat perlu di Kelantan sekiranya ingin mencapai perubahan yang bersifatkan lonjakan berganda. Kita tidak tahu dan kurang faham apa yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri tentang perubahan bersifat lonjakan berganda itu. Cuma agak mengelirukan apabila pemerintahan PAS yang dikatakan tidak berupaya membawa perubahan kepada Kelantan, tiba-tiba beberapa program pemerintahannya menjadi ikutan negeri-negeri lain diperintah BN. Allah Ta'ala Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Tidak terfikir oleh mana-mana pihak bagaimana Dia mentakdirkan ketika Najib begitu beriya-iya memperlekehkan kerajaan Kelantan, di hari sama juga kerajaan negeri Selangor mengumumkan pelaksanaan khairat kematian untuk semua kaum. Tapi, apa kaitannya dengan Kelantan? Ya, cuba perhatikan betul-betul. Menurut Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dana yang dinamakan Tabung Jasamu itu bertujuan memboleh waris kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) yang meninggal dunia, mendapat bantuan RM2,000 bagi membiayai urusan pengebumian. Kata Khir lagi, tabung itu terbuka kepada semua kaum dan agama untuk meringankan beban waris menguruskan pengebumian jenazah anggota keluarga mereka. Nah! Bukankah itu persis apa yang dilaksanakan di Kelantan sejak awal 2007 lalu? Apakah anda sudah lupa bahawa Kelantan menjadi negeri pertama memperkenalkan skim insurans percuma sebegitu untuk warga emas? Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta setiap tahun bagi caruman percuma kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas menerusi insurans Takaful Kafaalah. Di bawah skim itu pewaris warga emas yang dicarumkan kerajaan akan menerima pampasan RM2,000 jika warga emas berkenaan meninggal dunia tanpa mengira sebab, termasuk kematian semula jadi. Skim berkenaan diberikan kepada warga emas semua kaum, sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya selagi mereka adalah rakyat Kelantan. Sekalung tahniah buat rakyat Kelantan. Nampaknya usaha BN menggambarkan kerajaan PAS sebagai tidak berkemampuan telah dibayar secara 'tunai' oleh Allah Ta�ala. Hari itu (4 Januari) Najib memperlekeh Kelantan, hari itu juga Selangor isytihar tiru program kerajaan Kelantan. Memang, jika ditanya MB Selangor adakah dia meniru program dibuat kerajaan Kelantan, sudah barang tentu dia tidak akan mengaku. Dalam hal ini, penulis teringat kepada al-marhum Ustaz Bunyamin Yaakub, bekas Ahli Parlimen Bachok. Dalam salah satu ceramahnya, beliau mengulas beberapa perubahan yang dibuat kerajaan Kelantan dan ditiru kerajaan lain. Tetapi ada pemimpin negeri terbabit menafikan apabila dikatakan mereka telah meniru kerajaan PAS Kelantan. Katanya, 'tak mengaku pun tak apa. Tapi bila kawe buat dulu, demo buat getek (selepas itu) serupo denge hak kawe buat, (maknanya) demo tiru kawe lah tu!' Semoga Allah merahmati roh Ustaz Bunyamin. Demi Allah, hujah beliau itu masih relevan dengan apa yang sedang berlaku kini. Tidak cukup dengan kes takaful warga emas itu, Allah Ta'ala datangkan pula kes pokok gaharu. Hanya selang dua hari selepas itu (6 Januari), kerajaan Perak pula mengumumkan akan menanam pokok-pokok gaharu di lereng-lereng tanah tinggi negeri itu sebagai satu lagi sumber pendapatan lumayan kepada rakyat dan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pelancongan Perak, Dato' Mohd Radzi Manan ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaannya telah mengenalpasti beberapa kawasan berpotensi untuk tanaman gaharu kerana mempunyai kesesuaian iklim dan bentuk muka bumi untuk tujuan penanamannya secara komersial. Nah! Bukan kah itu satu lagi tamparan buat Najib dan para pemimpin BN yang cuba memperlekeh Kelantan? Sebagaimana yang telah dimaklumi, beberapa bulan lalu kerajaan Kelantan telah melancarkan projek Koridor Depu, iaitu penanaman pokok depu atau gaharu secara komersial. Mengikut pasaran semasa, setiap 12 mililiter resin gaharu yang siap diproses, harganya sekitar RM300 hingga lebih RM1,200 mengikut grednya. Potensi besar tanaman ini telah lama disedari kerajaan Kelantan. Penanaman pokok ini digalakkan dengan perancangan mengagih anak pokok secara percuma di samping membuka ladang di pedalaman Kelantan melalui penglibatan Perbadanan Menteri Besar. Usaha menjadikannya suatu industri telah dirintis sebuah syarikat bumiputera tempatan sejak Mei lalu dengan menggunakan kepakaran dari Thailand. Kini usaha itu cuba ditiru kerajaan BN Perak. Sepertimana kata Ustaz Bunyamin, 'tak mengaku pun tak apa!' Wajar disebut semula beberapa perubahan oleh kerajaan Kelantan yang sebelum ini telah ditiru kerajaan BN. Langkah PAS yang ditiru Kerajaan BN Antaranya ialah: 1. Pajak Gadai Islam ar-Rahn yang dimulakan di Kelantan di awal 90-an kemudian diterima pakai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM). 2. Cuti bersalin kakitangan wanita dilanjutkan daripada 42 hari kepada 60 hari kemudiannya turut diterima pakai kerajaan Pusat. 3. Konsep kerja lima hari seminggu yang kemudiannya dimulai kerajaan Pusat dengan cuti Sabtu pertama setiap bulan bermula Januari 1999. Konsep itu kemudiannya dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana sekarang. 4. Konsep Hotel Islam ditiru oleh negeri Pahang. 5. Amalan tidak memberikan cenderahati atau hadiah semasa lawatan rasmi Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri diikuti oleh sektor perkhidmatan awam menerusi arahan Ketua Pengarahnya pada Ogos 1998. 6. Konsep rumah mampu milik dengan tiga bilik bagi memupuk kerukunan keluarga dijadikan model oleh pemaju dan kerajaan negeri seluruh negara. 7. Ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa sebagai hiasan di tepi jalan raya, diambil ideanya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1997 untuk digunakan di tepi lebuh raya. Apa yang disenaraikan ini hanyalah yang besar-besar saja. Namun yang pastinya, idea pemerintahan PAS tidak koman, malah jauh mendahului kerajaan BN. Mengambilkira realiti itu, para pendokong kerajaan Kelantan wajar bersepakatan menutup mulut mana-mana pihak yang cuba menggugat kedudukan kerajaan yang ada. Biar pun orang itu adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri. Ingatkan kembali mereka itu kepada ungkapan keramat Tok Guru, 'tak dak sebab demo nak lawe kawe.' - mr
|