Bersua kembali, setelah Safar berlalu,kini kita berada di dalam bulan Rabiul Awal, bulan yang dinantikan oleh para pencinta Nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran yang telah termaktub di Lauh Mahfuz , dinantikan oleh seluruh alam dan dijanjikan di dalam kitab -kitab suci dan suhuf para anbiya. Alam seolah -olah berpesta dan gempar dengan kelahiran ini.Bermula daripada Arasy’ sehinggalah kepada ikan - ikan di lautan,semuanya mengucap syukur dan mengalu-alukan kehadiran makhluk yang paling mulia ini. Terlalu luas untuk mengungkap semula kisah kelahiran ini di dalam ruangan yang terbatas,namun memadai dengan dinyatakan bahawa kelahiran ini merupakan satu pencetus kepada revolusi perubahan tamadun manusia daripada kegelapan kepada hidayah yang menerangi seluru alam.Padamnya api di biara Majusi yang menjadi sembahan sejak beratus tahun dan dan bergegarnya istana Kisra Parsi menjadi tanda bahawa manusia yang lahir pada hari ini bukan sebarangan manusia tetapi dia ialah manusia yang akan meleburkan semua bentuk sembahan selain daripada Allah yang Maha Esa. Bersempena dengan kehadiran bulan yang mulia ini, suka dinyatakan beberapa kisah dan peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini sepertiman yang tercatat di dalam tinta emas sejarah ketamadunan Islam. Di antaranya : i. Hari Keputeraan Rasulullah SAW pada 12 haribulan. ii. Perlantikan Baginda Rasulullah SAW menjadi rasul. iii. Peristiwa persembunyian Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar di Gua Hira' untuk berhijrah ke Madinah pada 2,3,4 haribulan. iv. Ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dalam peristiwa hijrah. v. Pembinaan masjid pertama di Quba' pada 8 haribulan. vi. Kewafatan Rasulullah SAW pada 12 haribulan.(penutup nabi dan rasul ) Nah! terbentang sudah tinta sejarah Islam pada bulan ini.Lantas apakah sekadar mengetahui atau membaca sahaja sejarah ini tanpa mengambill ikibar dan pedoman yang sewajarnya? Perkara ini perlu muhasabah bersama . Bertepatan dengan bulan yang mulia ini juga, marilah kita menghayati sebuah kisah yang dipetik daripada sirah baginda Rasulullah S.A.W melambangkan kerasulan dan kebenaran baginda S.A.W: “ Pada suatu hari seorang Yahudi telah datang menemui Rasulullah S.A.W kerana hendak menuntut hutangnya. Tetapi cara orang Yahudi itu datang menuntut hutangnya amatlah kasar sekali.Sebaik sahaja Yahudi itu menghampiri Rasulullah dia terus merengut baju Rasulullah sambil berkata: ''Hai keturunan Abdul Mutalib, engkau sememangnya dari golongan orang yang suka menangguh-nangguhkan hutang '' Sikap kasar serta tutur kata yang tidak sopan dari orang Yahudi itu sangat-sangat menyakitkan hati Syaidina Umar bin Khattab yang berada bersama-sama dengan Rasulullah ketika itu. Dengan kekerasan jua. Oleh kerana perasaaan marahnya begitu meluap Syaidina Umar terus menengking Yahudi itu.Rasulullah terkejut dengan sikap Syaidina Umar itu, kerana tidak dapat mengawal perasaannya. Walaupun,air muka Rasulullah terbayang kemarahaannya tetapi baginda dapat mengawal perasaan itu. Lalu baginda berkata kepada Syaidina Umar: ''Wahai Umar, saya dan dia, mempunyai urusan yang lebih layak. Biarlah kami berdua yang menyelesaikannya dan janganlah kau mencampurinya. Sebaik-baiknya engkau suruh saya bayar hutang itu dengan baik dan suruh dia menuntut hutang dengan baik juga. Sebenarnya saya masih ada tiga hari lagi tempoh untuk membayar hutang tersebut''. Maka baginda menyuruh Syaidina Umar membayar hutang baginda dengan memberi dua puluh gantang gandum kepada Yahudi itu sebagai balasan kerana Syaidina Umar telah berlaku kasar terhadap Yahudi itu. Apabila Yahudi itu melihat kejadian itu tiba-tiba terkeluarlah kata-kata dari mulut Yahudi itu, katanya: ''Wahai Umar, semuanya ini adalah merupakan tanda-tanda kenabian. Saya telah dapat melihat tanda-tanda tersebut terbayang di ruangan wajah nabi s.a.w. ketika saya memperhatikan wajahnya. Sebenarnya saya ingin mengetahui apakah benar-benar dia seorang nabi. Sebab itulah saya uji dia untuk mengetahui apakah dia seorang yang tinggi akhlaknya dan pemaaf. Naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.'' Begitulah besarnya pengaruh sifat dan sabar Rasulullah s.a.w hingga menyebabkan Yahudi yang mengasari baginda terbuka terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam. Demikian cebisan daripada khazanah peninggalan akhlak Rasulullah S.A.W kepada kita, mudah mudahan kita mendapat iktibar yang sepatutnya daripada kedatangan bulan yang mulia ini. Bersamalah kita berdoa mudah - mudahan kita dibangkitkan daripada kalangan umat Muhammad SAW pada Akhirat kelak.Amin.....
|